KAJANG - Ibu Pejabat Pertubuhan Pergerakan Pengakap Sedunia (WOSM) yang berpangkalan di Genneva, Switzerland akan berpindah ke Kuala Lumpur bermula tahun hadapan, kata Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh.

Beliau berkata keputusan itu dibuat hasil persetujuan sebulat suara 186 negara yang inginkan negara Asia Pasifik menjadi pangkalan WOSM.

"Kita telah membincangkannya semasa persidangan WOSM di Brazil tiga tahun lepas dan negara seperti Singapura, Thailand, Filipina dan Indonesia juga berminat, namun Malaysia telah terpilih," katanya dalam sidang media selepas
menyampaikan Anugerah Baden Powell kepada 21 orang penerima di sini hari ini.

Beliau berkata pengisytiharaan perpindahan itu akan dibuat di Parlimen pada Februari tahun hadapan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Agung Pengakap Malaysia.

Shafie berkata ibu pejabat tersebut akan ditempatkan di Brickfields yang kini kerja pengubahsuaian sedang giat dijalankan.

Beliau berkata diharapkan dengan wujudnya ibu pejabat pengakap sedunia di Malaysia, lebih ramai pemimpin tempatan serta rakyat akan menyertai pergerakan pengakap di Malaysia dan sekaligus menjadi ketua pengakap antarabangsa.

Sementara itu seorang penerima anugerah berprestij tersebut, Shazwani Mokhtar, 20, berkata penampilannya yang berpurdah tidak menghalangnya untuk menyertai aktiviti lasak dalam aktiviti pengakap sehingga menerima anugerah.

"Pada mulanya saya menyertai pengakap di tempat saya belajar iaitu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) tahun lepas untuk memenuhi syarat kredit. Selepas itu saya terus menyertai Kumpulan Latihan Kelana Siswa Malaysia sebelum
menerima anugerah ini," katanya.

Beliau yang kini berada dalam tahun dua jurusan Usuluddin berkata walaupun pelbagai aktiviti lasak harus dilakukannya, namun semua itu tidak menjadi halangan kepadanya. - Bernama