KUALA LUMPUR - Ibu bapa yang cuai sehingga mendatangkan kemudaratan kepada anak-anak mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, semua ibu bapa perlu lebih prihatin dan peka dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Beliau berkata demikian mengulas tragedi menimpa seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun meninggal dunia akibat ditinggal ibunya lebih lima jam di dalam kereta kelmarin.

“Saya sedih dengan apa berlaku, ini satu kecuaian. Bagaimanapun perkara sudah terjadi saya turut bersimpati.

“Saya berharap perkara sama tidak berulang kepada keluarga lain. Ibu bapa perlu faham tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya pada sidang media, semalam.

Menurutnya, kes kecuaian seumpama itu sering kali berlaku sepatutnya telah jadi pengajaran kepada semua.

“Ini satu kerisauan. Kita boleh ambil tindakan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 yang mana mampu bertindak tegas kepada ibu bapa cuai. Jangan ambil ringan, belajar dengan perkara yang telah berlaku,” katanya.

Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan, sesiapa ibu bapa atau penjaga yangcuai, mengabaikan kanak-kanak boleh didakwa di mahkamah.

Pesalah boleh disabitkan denda sebanyak RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Beliau berkata, pihaknya akan memasukkan semula modul keibubapaan ke dalam kursus-kursus persediaan pasangan yang bakal menimbang cahaya mata atau ingin berumah tangga.

“Cadangan ini kita akan bawa kepada perbincangan di peringkat kementerian. Saya juga akan maklum kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN). Dahulu modul itu pernah dikendalikan oleh LPPKN,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.