KUALA LUMPUR - Pengerusi Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P. Waythamoorthy mempertahan keputusannya menandatangani perjanjian dengan Barisan Nasional (BN) berikutan kegagalan parti pakatan rakyat mengotakan janjinya kepada masyarakat India.
    
Katanya sejak November tahun lepas, Hindraf berbincang sebanyak 24 kali dengan para pemimpin Pakatan Rakyat untuk mendapatkan persetujuan mereka mengenai pelaksanaan rangka tindakan komprehensif lima perkara pergerakan itu berkaitan masyarakat India.
    
Sambil menyuarakan kekecewaannya, Waythamoorthy berkata selama lima tahun, Hindraf "dipermain-mainkan" pakatan rakyat, yang hanya pandai menabur janji kepada masyarakat itu, tetapi tidak pernah menunaikannya.
    
"Setelah Pakatan Rakyat memperkuda kami dan secara terang-terangan menolak tuntutan Hindraf, BN tampil untuk meluluskan rangka tindakan lima perkaranya.
    
"BN membuka peluang kepada kami (Hindraf) untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India dan ia merupakan sesuatu yang tidak boleh kami lepaskan begitu saja," katanya dalam temu bual dengan Bernama selepas rakaman program Helo Malaysia versi bahasa Tamil melalui Bernama TV semalam.

Pada 18 April, Hindraf dan BN menandatangani memorandum persefahaman (MoU)  mengandungi enam perkara utama untuk membawa masuk golongan miskin berketurunan India ke dalam arus utama pembangunan negara.
    
Waythamoorthy berkata pergerakan itu bersetuju menjalin persefahaman dengan BN dan memberi sokongan kepada parti gabungan itu pada pilihan raya umum akan datang berikutan komitmennya untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat India.
    
Katanya sebelum tercapainya persetujuan itu, Hindraf mengajak BN dan Pakatan Rakyat berunding, tetapi hanya BN menunjukkan kesungguhan dan mula berbincang dengan pergerakan itu pada akhir Mac.
    
Ditanya sama ada dasar transformasi yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejajar dengan rangka tindakan Hindraf, Waythamoorthy berkata berdasarkan rekod pencapaiannya, BN diyakini akan menunaikan segala janjinya.
    
"Najib menunjukkan komitmen dan keikhlasan beliau serta memohon maaf secara terbuka dan berjanji akan memperbetul kesilapan kerajaan pada masa lampau. Najib secara terbuka menyatakan BN berhasrat menangani isu ekonomi yang melibatkan masyarakat India," katanya.

Berikutan kesediaan Najib untuk bekerjasama dengan Hindraf, Waythamoorthy berikrar bahawa pergerakan itu akan berusaha untuk mencari penyelesaian secara menyeluruh dan muktamad untuk membawa perubahan besar terhadap kedudukan sosioekonomi masyarakat itu.
    
"Kami yakin Datuk Seri Najib akan menunaikan aku janji yang beliau ikrarkan. Rekod beliau sebelum ini menjadi buktinya. Malah, sebelum Mou itu ditandatangani, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan menyalurkan berjuta-juta Ringgit, khusus untuk masyarakat India," katanya.
    
Sambil menyifatkan langkah itu sebagai perkongsian pintar, Waythamoorthy berkata BN dan Hindraf telah berkompromi untuk membolehkan satu keputusan yang wajar dan penyelesaian yang praktikal, dapat dicapai.
    
Ketika menafikan dakwaan beberapa pemimpin pakatan rakyat bahawa beliau "mengalah kepada syaitan", Waythamoorthy berkata: "Itu hanyalah propaganda palsu daripada para pemimpin Pakatan Rakyat".
    
"Kalaulah BN telah membeli saya, kenapa pula saya perlu bertegas bahawa satu rangka tindakan perlu diadakan untuk mencari penyelesaian bagi masyarakat India?" katanya sambil menegaskan bahawa masyarakat India akhirnya sedar bahawa hanya BN yang dapat menjamin masa depan yang lebih cerah untuk mereka. - Bernama