Zhafri Suhaimi
$entry.content.caption.value

Tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Itulah perumpamaan yang sesuai digambarkan mengenai kehadiran pendatang baru dalam industri seni tanah air yang bakal menjadi pelapis bagi generasi akan datang.

Kehadiran bakat baru ini dikatakan dapat memeriahkan lagi suasana industri hiburan tanah air yang semakin maju dan berkembang dengan sihat.

Berbadan sasa dan petah berkata-kata adalah pakej yang dimiliki oleh bakat muda ini, Muhammad Zhafri Suhaimi, 24, yang kini semakin aktif mengembangkan bakatnya dalam bidang lakonan.

Bermula dengan watak tambahan menerusi drama bersiri Wasiat arahan Faizal Ishak, Zhafri tidak pernah menyangka niatnya yang hanya sekadar mahu mencuba nasib akhirnya membawa dia ke dunia lakonan.

Menurutnya, dia tidak pernah bercita-cita untuk menjadi seorang pelakon dan penglibatannya dalam dunia lakonan adalah kerana nasib dan rezeki yang menyebelahinya.

“Semasa cuti semester lepas, saya menemani seorang rakan untuk menghadiri uji bakat untuk sebuah drama dan pada masa itu, rakan mencadangkan saya mencuba sama uji bakat tersebut dan saya tidak sangka nasib menyebelahi saya kerana terpilih menjadi pelakon dalam drama berkenaan.

“Itulah di antara titik permulaan saya menceburi bidang lakonan selain pernah mencuba nasib sebagai seorang model,” katanya.


Tidak abai pelajaran

Bagaimanapun Zhafri berkata, buat masa ini dia tidak mahu terlalu menumpukan kerjayanya sebagai seorang pelakon kerana masih mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dalam pendidikan yang masih belum tamat.
“Saya tidak target untuk melibatkan diri dalam bidang lakonan secara sepenuh masa dan bagi saya jika ada tawaran lakonan yang sesuai dengan watak dan tidak mengganggu jadual sebagai seorang penuntut saya akan pertimbangkan.

“Apa yang penting, jika diberi tawaran lakonan, saya akan lakukannya dengan sepenuh hati supaya dapat menyempurnakan lakonan dengan baik,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pakej yang dimilikinya, pelakon baru ini menyatakan dia bersetuju seseorang artis perlu memiliki pakej yang lengkap.

“Bagi saya, pakej adalah satu kelebihan bagi seseorang artis bagaimanapun keutamaan diberikan kepada kualiti dan bakat lakonan.

“Walaupun saya masih baru dalam bidang lakonan, jika diberi pilihan, saya mahu mencuba semua watak untuk menjadi seorang pelakon yang versatil," katanya.


Skuad FAB

Berkongsi tentang perkembangan terbarunya, Zhafri berkata, dia kini terlibat dalam satu program semi realiti, Skuad Fab yang sedang disiarkan di TV3.

Skuad FAB merupakan program arahan Shahrul Nizan atau dikenali sebagai Pak Abu dan Ahmad Annuar selaku penerbit program ini.

Zhafri yang memegang watak sebagai salah seorang agen paling muda berkata, program ini memaparkan aksi skuad FAB membantu suri rumah dan isteri berkerjaya membersih dan menguruskan kediaman mereka.

"Dalam program ini saya perlu memainkan watak sebagai salah seorang agen yang berkepakaran dalam mencuci tandas. Melalui watak yang diberikan, saya perlu menjadi seorang yang mesra dan aktif dalam menjalankan tugasan yang diberikan dalam setiap episod.

"Ini merupakan kali pertama saya melibatkan diri salam lakonan program realiti dan sememangnya ia memberi cabaran kepada saya untuk melakonkan watak tersebut," katanya.

Menurutnya, program yang disiarkan setiap Sabtu, jam 7.30 malam ini berbeza jika dibandingkan dengan lakonan dalam drama mahupun filem kerana menerusi program Skuad FAB ini, setiap pelakon perlu menjadi diri sendiri dan spontan.

"Mengapa saya bersetuju untuk melibatkan diri dalam program ini adalah kerana mahu mendapatkan pengalaman yang berbeza daripada lakonan drama atau filem supaya dapat memantapkan lagi kualiti lakonan yang lebih baik," katanya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.