NAMA pelawak terkenal, Zaibo bukanlah asing, malah kelibat beliau mewarnai industri hiburan tanah air suatu masa dahulu pasti tidak pernah mengecewakan.

Namun, sejak dikhabarkan kesihatan pelakon berusia 62 tahun yang bertarung dengan kanser, pelbagai andaian dan tanggapan didengari sehingga timbul pelbagai persoalan dan kerisauan dalam kalangan peminat.

Bagaimanapun, kesempatan bertemu beliau di kampung halaman isterinya di Pekan Rengit, di sini, merungkai tanda tanya apabila empunya diri mengakui menjalani fasa kehidupan yang semakin baik.

Akui kehidupan masih baik

Zaibo atau nama sebenarnya, Zainal Ariffin Abd Hamid, yang menghidap kanser esofagus tahap empat berkata, kini beliau lebih selesa berehat bagi memberi fokus terhadap rawatan.

“Keadaan abang baik-baik sahaja. Abang mohon orang ramai untuk terus doakan kesihatan dan kesejahteraan abang. Abang hargai keprihatinan rakan-rakan dan peminat yang tak putus-putus bertanyakan khabar dan mengambil berat keadaan diri ini.

“Jangan risau, abang cuma mahu berehat dulu dan tak mahu saudara mara serta kawan-kawan bimbangkan abang,” katanya ketika ditemui.

Siti Hawa menerima sumbangan dari Malik Faishal.

Keadaan beliau yang semakin ceria kini terus disuntik dengan semangat dan kekuatan daripada isteri tercinta, Siti Hawa Sawal, 52, serta sembilan anak di sisi.

Cuba rawatan moden, tradisional

Menurut Siti Hawa, kesemua anaknya akan pulang pada hujung minggu bagi bersama menunaikan tanggungjawab menjaga suaminya.

“Abang pun dah semakin baik. Macam sekarang dia dah boleh bangun pergi tandas. Daripada segi rawatan pula, kami cuba mana yang bersesuaian.

“Macam untuk abang, kami tak hanya mengutamakan rawatan moden, tapi turut mencuba rawatan tradisional. Hospital pun kami pergi, rawatan alternatif kami aplikasikan.

“Alhamdulillah, nampak keadaan beliau makin baik. Cuma bila lepas buat rawatan, dia memang akan lemah sikit dalam tempoh dua ke tiga hari,” katanya.

Ujarnya, sejak tular gambar suaminya di laman sosial kelmarin, mereka sekeluarga tidak henti menerima panggilan telefon dan pesanan ringkas bertanyakan keadaan suaminya.

“Abang cuma terasa hati apabila gambarnya dalam keadaan uzur ditular semula semalam (kelmarin) kerana dia tidak mahu orang ramai salah faham dan terus bimbang.

“Sesiapa yang mahu melawat abang harap dapat maklumkan dulu dan tidak datang mengejut, mana tahu abang sedang berehat dan tidak pulang dengan kecewa.

“Abang pun kuat semangat dan selalu cakap mahu kembali berlakon dan bertemu rakan artis semula,” katanya.

Tak putus beri semangat

Siti Hawa berkata, dia tidak akan putus memberikan harapan kepada suami tercinta demi memastikan Zaibo terus menikmati kehidupan lebih baik.

“Akak dulu pun pernah lalui fasa sukar, tapi abang tak pernah putus bagi semangat dekat akak. Jadi, bila dia ditimpa keadaan begini, mana mungkin kami akan tinggalkan dia. Akak akan terus suntik harapan untuk dia menentang kanser yang dihidapinya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Whip Majlis Perbandaran Batu Pahat (MPBP), Malik Faishal Ahmad menyampaikan sumbangan wang dan barangan keperluan kepada artis veteran itu.

Menyingkap kembali masalah kesihatan dihadapi Zaibo, Siti Hawa berkongsi penyakit suaminya itu dikesan selepas sambutan Hari Raya Aidiladha apabila kerap mengadu tersedak setiap kali makan.

Siti Hawa berkata, suaminya kemudian dirujuk di hospital besar sebelum keputusan CT Scan mengesahkan Zaibo menghidap kanser tahap empat.

Sesiapa yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyumbang di nombor akaun Maybank 151-445-183-664 atas nama Siti Hawa Sawal.