MENTERI Penerangan, Komunikasi danKebudayaan, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim akan melancarkan Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia (Yirmi) Khamis ini, di Panggung Sari, Istana Budaya.

Kementeriannya dalam kenyataan hari ini berkata majlis pelancaran Yirmi akan disusuli Konsert Nusantara bertemakan Serumpun Budaya di Istana Budaya selama tiga hari mulai 7 Mac.

"Konsert berkenaan melibatkan persembahan kebudayaan Malaysia dan Indonesia.

Majlis pelancaran Yirmi dan Konsert Nusantara merupakan cetusan idea Rais.

"Konsert Nusantara memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyaksikan kekayaan lagu, muzik dan tari nusantara dengan penekanan kepada budaya masyarakat Indonesia dan Malaysia," kata kenyataan itu.

Beliau berkata pementasan itu bertujuan memaparkan dua negara serumpun apabila penghijrahan antara masyarakat negara-negara itu menyebabkan gabungan dan percampuran budaya di Malaysia.

"Walaupun terdapat sedikit persamaan, perbezaan budaya antara dua negara tetap terserlah. Kerjasama ini juga memperlihatkan hubungan mesra antara Malaysia dan Indonesia dalam menjayakan sebuah pementasan," kata kenyataan itu.

Persembahan yang akan diadakan pada konsert itu ialah tarian dan lagu-lagu rakyat popular dari Indonesia melibatkan suku bangsa Bugis, Bawean, Acheh, Batak, Mandailing, Jawa dan Minang.

"Sementara artis popular Indonesia dan Malaysia yang mengambil bahagian dalam Konsert Nusantara ialah Rossa, Datuk Siti Nurhaliza, Endang S.Taurina, Elly Kassim, Datuk M. Nasir, Datuk Yusni Hamid, Bob Yusof, Yazer, Ziana Zain, Hafiz, Black dan Stacy.

"Pertanyaan mengenai harga tiket boleh diperoleh dengan menghubungi talian 03-40265555/5558 atau layari portal/web www.Istanabudaya.gov.my 

"Tiket dijual pada harga RM50, RM70, RM100, RM150, RM200, RM250 dan RM300. Tiket-tiket boleh juga didapati dengan melayari laman web redtix.airasia.com atau http://www.airasiaredtix.com atau hubungi 03-87754666. - Bernama