SKOP Production sebelum ini telah mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang telah melanggar hakcipta filem Munafik 2 dengan memuatnaik filem tersebut di laman media sosial oleh seorang individu tidak bertanggungjawab.

Kes tersebut telah didengar di Mahkamah Tinggi Taiping hari ini melibatkan kedua-dua pihak. Berikut merupakan siaran akhbar daripada Skop Production berkaitan perkara tersebut.

Hari ini telah ditetapkan pendengaran bagi Writ Saman dan Penyataan Tuntutan Datuk Yusof Haslam, Pengarah Urusan Skop Productions Sdn Bhd dan Syamsul Yusof, Pengarah filem Munafik 2 terhadap Defendan, Muhammad Izwan Shah Kamal Shah yang telah difailkan pada 8 Oktober 2018.

Yusof Haslam dan Syamsul Yusof, Pengarah filem Munafik 2 telah mengambil tindakan mahkamah terhadap pihak yang telah melanggar hakcipta filem tersebut dengan memuatnaik di laman media sosial facebook dan instagramnya melalui akaun profil Sasuke Kun dan @muhammad_izwan_shah.

Filem tersebut kemudiannya telah tersebar luas dan dikongsi dibeberapa laman media sosial untuk tontonan umum.

Yang Arif Pesuruhjaya Kehakiman Tuan Asmadi Hussin, Plaintif-Plaintif serta Defendan telah merekodkan perintah-perintah dan hendaklah membayar sebanyak RM 100,000.00 kepada Plaintif-Plaintif, dan Defendan dihalang daripada melanggar hakcipta Plaintif-Plaintif untuk filem Munafik 2; memuat naik filem Munafik 2 dan mana-mana bahagian daripada filemtersebut, dalam apa-apa bentuk di dalam media sosial dan platform lain, tanpa keizinan Plaintif-Plaintif.

Sekiranya Defendan melanggar mana-mana perintah yang telah direkodkan,Defendan boleh dikenakan hukuman penjara atau denda atau kedua-dua sekali kerana dianggap sebagai menghina Mahkamah

Pihak Skop Productions Sdn Bhd telah membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Malaysia (KPDNKK) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut disamping satu guaman sivil dan permohonan injuksi turut difailkan terhadap pihak yang terbabit.

Jika disabit kesalahan, pihak terbabit boleh dituduh di bawah kesalahan Seksyen 41 (1) Akta Hak Cipta 1987, kerana memiliki salinan karya-karya hakcipta yang telah dibuat dan/atau diterbitkan semula tanpa pemberikuasaan, persetujuaan atau kebenaran oleh pemilik hak cipta.

Jika terbukti bahawa rakaman yang digunakan oleh pihak tersebut telah melanggar hak cipta pemilik filem,hukuman maksimum bagi kesalahan tersebut ialah denda tidak lebih daripada RM 20,000.00 bagi setiap salinan atau penjara bagi tempoh tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain Datuk Yusof dan Syamsul, turut hadir bersama ke Mahkamah Tinggi Taiping adalah kru produksi Skop Productions.