GEORGETOWN - Syarikat agensi pelancongan haji dan umrah mengalami kerugian akibat peraturan baru ditetapkan Kerajaan Arab Saudi.

Wakil agensi pelancongan, Shahrul Azalan Mohamad Zamri berkata, peraturan berkenaan menyebabkan para jemaah menuntut balik bayaran masing-masing.

"Sebenarnya isu visa ini bukan bermula Ramadan kali ini, tetapi sudah bermula sejak Januari 2013. Sejak awal Januari sudah ada sekatan berperingkat bermula dari kemestian bawa mahram untuk tunaikan umrah.

“Bukan itu saja, pada April 2013 pula keluar lagi arahan semua dokumen umrah contohnya sijil nikah dan sijil kelahiran perlu mendapatkan pengesahan jabatan dan Wisma Putra kemudian awal Mei barulah Arab Saudi mengeluarkan arahan untuk mengurangkan kuota umrah dari bulan Rejab, Syaaban dan Ramadan,” katanya.

Berdepan pelbagai arahan, sekali lagi agensi pelancongan dapat arahan pada awal Jun untuk pengurangan tempoh visa umrah Ramadan dari 30 kepada 15 hari sahaja.

Shahrul berkata, agensi pelancongan mengalami masalah apabila Kerajaan Arab Saudi mengeluarkan arahan secara berperingkat.

Menurutnya, ia mengakibatkan jemaah terpaksa menjadualkan semula penerbangan pada Ramadan.

“Pengurangan kuota haji juga mengakibatkan ramai yang hampa daripada kuota setiap tahun 28,000 berkurangan kepada 23,000 sahaja.

“Kesan ini mengakibatkan ramai yang berhajat pergi tidak kesampaian tahun ini.

“Kemungkinan Tabung Haji kali ini hanya memilih yang punyai mahram sahaja dan mereka berusia 45 tahun ke atas bagi wanita.

“Dari segi sudut positifnya pula kita terpaksa akur dengan apa yang berlaku, peraturan dibuat bagi membolehkan pembesaran Masjidil Haram dapat disiapkan secepat mungkin ikut jadual ditetapkan,” katanya.