• Tamam Idris - Mariaty Husin Pasangan Tamam Idris - Mariaty Husin
1 /

KETIKA era 50 sehingga 60-an, drama bangsawan berjaya menarik perhatian masyarakat dalam mempamerkan ilmu persilatan warisan nenek moyang.

Memiliki kemahiran dalam arena persilatan menjadi kelebihan buat Tamam Idris menjayakan watak pesilat atau guru silat.

Bagaimanapun, atas faktor usia dan kecederaan yang dialami pada 2009 membuatkan Tamam atau mesra disapa Pak Tamam, 73, tidak lagi dapat bersilat atau menjayakan watak itu.

"Saya dah tak boleh silat dan pergerakan semakin terhad. Mungkin ini kesan usia saya yang melebihi separuh abad dan juga kemalangan lalu.

"Selepas kemalangan di mana saya dilanggar kereta, saya mengalami kecederaan parah kerana kepala saya terhantuk kuat. Kesannya, sehingga kini, kepala saya masih terasa sakit dan pening bila membaca.

"Sejak itulah, saya mula melupakan hasrat untuk berlakon dan aktif bersilat. Namun, apabila didesak menantu saya, Den Wahab untuk berlakon, saya terpaksa ambil juga," katanya yang muncul dalam drama, Berek Hijau, arahan Den Wahab, tahun lalu.

Urus chalet

Walaupun tidak lagi aktif dalam bidang lakonan, namun Pak Tamam bukan hanya duduk bersenang-lenang di rumah.

Sejak lapan tahun lalu, Pak Tamam dan isteri menguruskan chalet, Pondok Impian di Janda Baik, Pahang.

"Chalet itu milik menantu kami, Den Wahab. Jadi, dia minta saya dan isteri uruskan chalet itu. Saya seronok menguruskan perniagaan ini, apatah lagi sambutan pengunjung sangat memuaskan.

"Lagipun, suasana di sini seperti di kampung dan saya berpeluang bercucuk tanam serta berkebun," katanya yang berasal dari Kedah.

Tak suka meminta

Tidak menyifatkan dirinya tergolong dalam kelompok yang senang, namun Pak Tamam mempunyai pendiriannya sendiri.

"Alhamdulillah, nak kata senang, taklah senang sangat. Tapi, setakat ini, kami boleh menguruskan kehidupan sendiri.

"Sewaktu saya kemalangan dulu, memang susah. Namun, saya tidak suka meminta dan jaja kesempitan hidup kepada orang lain.

"Saya tidak mahu keadaan saya disalah ertikan sehingga menyusahkan orang lain. Namun, saya bersyukur kerana masih ada pihak prihatin dan sanggup menghulurkan sumbangan ikhlas," katanya yang menerima sumbangan daripada Yayasan Artis 1Malaysia (YA1M), baru-baru ini.

Bertanya mengenai harapan dan impian yang masih belum terlaksana, Pak Tamam mengakui segala impiannya sudah tercapai.

"Alhamdulillah, segala impian saya sudah tercapai. Satu ketika dahulu, saya berhasrat untuk berlakon dengan pelakon hebat, Eman Manan, akhirnya saya dapat.

"Begitu juga dengan anugerah. Saya berjaya memperoleh anugerah walaupun bagi orang lain, ia bukanlah sesuatu yang besar. Namun, saya sangat berbangga dan berpuas hati," kata suami aktres, Mariaty Husin ini.