NAMA figura ini di dalam industri seni sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Penglibatannya sejak 10 tahun lalu bermula sebagai pelawak, pelakon dan pengacara membuatkan Nabil Ahmad dikenali oleh setiap lapisan usia.

Dan lebih terarah pada bidang pengacaraan sejak akhir-akhir ini, sehingga pernah ditugaskan sebagai hos karpet merah Anugerah Akademi ke-89 atau Oscar di Los Angeles, Amerika Syarikat pada tahun lalu, membuatkan ramai yang beranggapan, anak kelahiran Negeri Sembilan ini sebagai pengacara termahal di Malaysia.

Bagaimanapun bagi empunya badan sendiri, dia tidak meletakkan harga melampaui batas dan kebanyakan tawaran yang diterima adalah daripada penganjur yang sama.

"Kalau saya mahal, takkanlah kebanyakan penganjur 'repeat order' dengan saya. Apa yang boleh saya katakan, semuanya bergantung menerusi sesi perbincangan dengan pelanggan," katanya kepada media ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Nabil, skil perhubungan awam serta hubungan baik dengan penganjur adalah antara aspek yang diutamakan dalam bekerja.

Bahkan pengacara rancangan MeleTOP ini, sering beringat untuk selalu merendah diri kerana kerjaya bermula dari bawah.

"Sebelum berada di kedudukan sekarang, saya hanya budak penghantar surat. Bila berkecimpung di dalam industri, saya dah lalui zaman jatuh bangun.

"Jadi untuk apa saya mahu meninggi diri? Pernah saya menerima tawaran untuk menjadi pengacara tanpa bayaran di sebuah acara anjuran stesen minyak di kampung saya, di mana pemiliknya sudah saya kenali sejak zaman saya kerja despatch lagi.

"Tapi jika acara itu membabitkan skala besar, takkan lah saya mahu meletakkan harga murah pula? Secara peribadi, soal meletakkan harga, semuanya mengikut keadaan dan boleh dibawa berbincang,” jelasnya.