Underworld
$entry.content.caption.value

Bagi peminat filem aksi dan seram yang berlatar belakangkan kisah pontianak, sudah pasti filem Underworld dinanti-nantikan. Bermula sekuel pertamanya, Underworld (2003), diikuti Underworld: Evolution (2006) dan Underworld: Rise of the Lycans (2009), ramai tidak menjangka siri ini akan diteruskan dengan sekuel keempatnya.

Bakal ditayangkan 20 Januari ini, sekuel terbaru Underworld iaitu Underworld: Awakening yang juga dikenali sebagai Underworld 4 ini mendapat sentuhan dua pengarah terkenal iaitu Mans Marlind dan Bjorn Stein.
Menurut Marlind, mereka cuba mengekalkan unsur yang perlu dalam sekuel terbaru ini supaya ia tidak menyimpang jauh daripada tiga sekuelnya sebelum ini.

“Sebelum ini ia hanya melibatkan sekumpulan pontianak dan serigala jadian, sebaliknya siri ini melibatkan manusia biasa dan lebih banyak makhluk lain.

“Pun begitu, kami perlu memastikan kelainan bagi memastikan ia tidak dilihat sama seperti sekuel terdahulu,” katanya yang melakukan penggambaran filem ini di Vancouver, British Columbia.

Menerusi filem Underworld: Awakening juga, mereka turut menyelitkan babak ketika hari siang sedangkan sebelum ini ia fokus waktu malam sahaja.

Stein berkata, walaupun mereka mengubah lokasi dan beberapa elemen penting dalam sekuel keempatnya ini, namun masih mengekalkan ciri tertentu.

“Episod ini lebih serius apabila watak utama, Selene diburu dan pengkhianatan dan perkara luar jangkaan,” katanya.

Walaupun filem ini menggunakan sistem canggih dan menggunakan teknik 3D, produksi tidak menghadapi masalah ketika penggambaran.

Menurut mereka, walaupun tidak pernah melakukan aksi berat seperti filem ini, tetapi mereka perlu membuktikan kemampuan pihak produksi.

“Kami tidak pernah melakukannya sebelum ini, bagaimanapun kami fikir ia perlu diusahakan juga dan sentiasa mendorong diri supaya terus mencuba.

“Ini cabaran bagi kami apabila terpaksa mencari pelakon lagak ngeri berkualiti dan hebat. Bahkan setiap aksinya dirakam dalam bentuk 3D,” katanya.


Selene dalam diri Kate

Bercerita tentang pelakon utamanya, Kate Beckinsale nyata kedua-dua pengarah ini mempunyai alasan kuat mengapa mereka memilih bintang Underworld 1 dan 2 ini sebagai teraju utama filem berkenaan.

“Dia bertemu suaminya ketika melakukan penggambaran Underworld pertama. Dia juga rapat dengan watak Selene, tetapi kita dapat lihat perbezaan antara dia dan watak ini.

“Dia seorang yang kelakar bagaimanapun ketika di set dia berubah menjadi Selene yang mempunyai perwatakan lebih kasar, ganas dan sentiasa bersedia bertempur.

“Keberkesanannya menjadi Selene antara sebab mengapa kami memilih dia,” katanya yakin dengan kebolehan Kate.

Selain Kate, turut membintangi filem ini termasuklah India Eisly, Michael Ealy, Sandrine Holt, dan Robert Lawrenson.


Tidak sangka dipilih

Kate berkata, dia tidak menyangka diberi peranan utama sekali lagi menerusi sekuel itu.

“Sayaterlibat dalam Underworld pertama dan kedua dan saya tidak tahu akan wujudnya sekuel keempat ini.

“Saya tidak percaya produksi memberi kepercayaan kepada saya berlakon dan memegang watak sama sekali lagi,” katanya.

Underworld 4 berkisarkan pahlawan pontianak, Selene yang terlepas penjara setelah ditangkap manusia dalam episod sebelum ini. Bagaimanapun, dia berjaya menemui kaumnya dan Lycan yang sentiasa menjadi musuh ketat mereka. Kemudian bermulalah peperangan antara tiga makhluk ini.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.