SELEPAS Datuk Seri Siti Nurhaliza, seorang lagi selebriti popular yang bertuah apabila laman Instagramnya diikuti Perdana Menteri Malayasia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tun M yang menggunakan akaun @chedetofficial yang mempunyai 1.4 juta pengikut itu sebelum ini hanya mengikuti akaun dua individu sahaja iaitu anak beliau sendiri,  yang juga merupakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Datuk Siti Nurhaliza.

Akaun rasmi Tun M itu mula diwujudkan semenjak 15 Mac lalu.

Lebih menarik, menerusi video ucapan terima kasih Tun M kepada rakyat Malaysia bersempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-93 pada Selasa, turut menampilkan  muzik latar lagu Harapan Jadi Nyata dari Aizat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua atas ucapan dan doa sempena ulangtahun kelahiran saya yang ke 93.

“I would like to thank everyone for the best wishes and prayers I received on my 93rd birthday. Kredit Muzik Latar : Harapan Jadi Nyata @aizatamdan,” tulis Tun M pada kapsyen.

Terdahulu Aizat tampil dengan single baharunya, Harapan Jadi Nyata, sebuah lagu hasil nukilan bapanya, Datuk Amdan Mat Din yang didedikasikan kepada Tun M.

Aizat dalam satu kenyataannya sebelum ini, berkongsi tentang bapanya yang terlalu mengagumi kepimpinan Tun M dan menganggap negarawan itu sebagai idola sejak bergelar Perdana Menteri ke-4 lagi.