PELAKON berbakat besar, Nabila Huda berkongsi momen lucunya dengan penyanyi Indonesia, Tulus, yang mengadakan konsert sulungnya di Panggung Sari, Istana Budaya baru-baru ini.

Menurut Nabila, keterujaannya untuk bergambar bersama penyanyi itu menjadi momen yang melucukan apabila Tulus hanya berlalu pergi ketika lalu di hadapannya walaupun dia sudah bersedia untuk mengambil gambar.

"Teruja nak ambil gambar dengan Tulus... Ya, muka pertama tu belum bersedia. Yang kedua dah terlebih yakin dan lebih ceria.

"Ya dia sampai tapi dia lalu je wak... Tak tengok kita pun, mungkin dia ingat kita penjaga pintu Istana Budaya kot.

"Hancur berderai hatiku. Kira gambar tu rare tau. I dapat ambil gambar telinga serta backshot dia okay!" tulisnya menerusi posting di Instagramnya yang turut mendapat komen ramai pengikut.

Bukan itu sahaja, Nabila turut berkongsi video yang memaparkan aksi Tulus berlalu pergi dan reaksinya yang terkejut dan kecewa dengan peristiwa terbabit.

"Sepatutnya saya cakap, 'Hai Tulus, saya anaknya pak Ami Search. Tau ngak (tidak) Isabella? Masa itu kami sama aku masih dalam perut'.

"Confirm dia terus bagi pelukan erat dan cium dahi sebelum masuk bilik sidang media itu," guraunya lagi.

Bukan itu sahaja, pelakon Dendam Aurora ini juga sempat menitipkan pesanan buat mereka yang ingin menyaksikan konsert di Istana Budaya.

"Pengajarannya, kalau nak tengok konsert di Istana Budaya, jangan pakai blazer hitam dan jangan tunggu depan pintu, tolong jangan..." ujarnya.

Bagaimanapun, Nabila, 34, akhirnya dapat merakamkan foto kenangan bersama Tulus yang turut dikongsi di Instagramnya.