• Transformasi Aznil, Fizo dalam Muzikal Ali Baba Antara orang kuat yang menjayakan teater Muzikal Ali Baba.
  • Transformasi Aznil, Fizo dalam Muzikal Ali Baba Ketua Penyamun , Ali Baba versi Aznil, Fizo
  • Fizo Omar Fizo Omar
  • Aznil Nawawi Aznil Nawawi
1 /

SEMPENA musim cuti sekolah, panggung berprestij Istana Budaya (IB) sekali lagi membawa teater Muzikal Ali Baba ke pentas IB bermula 21 hingga 29 Disember ini.

Pernah diangkat dalam versi kanak-kanak sebelum ini, sekitar tahun 2006, ia masih mengekalkan pengacara popular tanah air, Aznil Nawawi sebagai teraju utamanya bagi watak ketua penyamun.

Menariknya bagi pementasan kali ini, pihak IB akan mementaskannya dalam versi dewasa, yang mana turut dibintangi Fizo Omar sebagai Ali Baba dan Elfira Loy sebagai Marjinah.

Dalam pada itu, pementasan yang berlangsung selama sembilan hari, dikatakan 90 peratus sama dengan karya asalnya, Ali Baba Bujang Lapok yang difilemkan.

Menurut Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani, harapan beliau melihat pementasan ini berjaya dan mendapat sambutan amatlah besar.

"Semua sedia maklum, pementasan ini adalah kejutan dalam kalender IB, apabila pihak yang sepatutnya mengadakan pementasan menarik diri.

"Apa pun, pemilihan Ali Baba dilihat bertepatan kerana naskhahnya tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

"Lagi pun ia merupakan kesempatan baik dalam musim cuti sekolah ini, yang mana ibu bapa dapat membawa anak-anak berhibur dengan menyaksikan pementasan ini," katanya ketika sidang media Muzikal Ali Baba di IB.

Menyentuh kepada pemilihan pelakonnya pula, jelas Juhari, dia sebenarnya tidak menduga Fizo dan Elfira bersetuju menyertai produksi itu.

"Alhamdulillah, mereka memberikan kerjasama dan menganggap tawaran ini sebagai satu peluang yang amat baik.

"Manakala Aznil pula, saya hanya sempat bertemu dan memberitahu kepadanya dalam sebuah majlis, baru-baru ini.

"Pun begitu, saya gembira kerana dia tidak menolaknya, walau pun terpaksa membatalkan beberapa tugasan lain," katanya sambil memberitahu sesi latihan bagi teater ini akan bermula 1 Disember.

Rezeki terpijak

Bagi bekas pengacara Akademi Fantasia (AF) 5 ini, penglibatan dalam teater Muzikal Ali Baba disifatkan sebagai rezeki terpijak baginya.

Jelas Aznil atau Pak Nil, dia langsung tidak menyangka watak sebagai ketua penyamun akan diberikan kepadanya.

"Saya sebenarnya sudah lama tidak muncul di pentas teater selepas The Secret Life of Nora, jadi saya memang terkejut apabila mendapat tahu mengenai perkara ini," katanya yang memaklumkan di Twitter miliknya mengenai watak itu.

Bersyukur dengan tawaran berkenaan, pelakon berusia 50 tahun ini berkata, ia adalah kali kedua dia memegang watak ketua penyamun.

"Saya ingat dapatlah jadi hero, rupanya tetap dengan penyamun," katanya berjenaka.

Dalam pada itu, ujarnya, jika dibandingkan Ali Baba versi kanak-kanak dan kini, ia sangat berbeza dan lebih mencabar.

"Bayangkan dahulu saya bebas melakukan apa sahaja kerana pelakon lain semua kanak-kanak.

"Yang seronoknya, mereka ikut sahaja rentak saya di atas pentas. Tetapi sekarang lebih berat kerana saya perlu bekerjasama dengan pelakon dewasa dan menjadi lebih serius," ujarnya yang gemar berinteraksi dengan penonton apabila berlakon teater.

Pun begitu, jelas Aznil, dia sangat suka membawakan watak tersebut.

"Ia adalah watak yang penuh warna dan lucu. Saya tidak boleh bayangkan kalau saya perlu membawa watak yang lebih berat dan orang menangis.

“Cuma yang saya risaukan saya tidak boleh berlari dan menari, maklumlah, usia semakin meningkat.

"Selain itu, saya juga bimbang jika penonton tidak dapat membezakan watak ini dengan Profesor Klon yang sudah sinonim dengan saya," jelas Aznil yang begitu mengagumi P Ramlee.

Kagumi Fizo, Elfira

Mengulas lanjut mengenai gandingannya bersama Fizo dan Elfira, ujar Aznil, ia merupakan kesempatan yang hebat dapat menerajui teater itu bersama dua bintang besar di negara ini.

"Bagi saya, Fizo mempunyai mutu lakonan yang baik. Sebelum ini saya pernah bekerja dengannya, cuma bagi teater, ini adalah kali pertama.

"Apa pun saya kagum kerana dia menerima tawaran ini dan saya masih terfikir bagaimana dia mengikut rentak ketua penyamun seperti saya nanti," katanya.

Berkongsi pandangan mengenai Elfira pula, jelas Aznil, dia tidak menyangka gadis berusia 18 tahun itu, kini telah bergelar bintang.

"Satu ketika dahulu, dia seorang pelakon kanak-kanak dan kami pernah berlakon bersama bagi Ali Baba versi kanak-kanak, tetapi kini namanya telah meningkat naik.

"Rasanya tidak sukar bekerja dengannya, lagi pun dia seorang yang berbakat," katanya.

Cabaran baru

Sementara bagi pelakon drama bersiri Julia ini, diberikan tawaran membintangi teater tersebut merupakan satu cabaran baru baginya dalam bergelar anak seni.

Ujar Fizo, ia merupakan lakonan keduanya di pentas teater selepas teater Muzikal Siti di Alam Fantasi.

"Diangkat menjadi pelakon teater adalah satu penghargaan bagi saya. Lagi pun, bukan mudah untuk mendapat peluang sebegini.

"Jadi saya perlu fokus dan memberikan sepenuh perhatian kepadanya. Lagi pun untuk menghidupkan watak Ali Baba di pentas teater amatlah sukar dan mencabar," katanya yang pernah menonton filem Ali Baba beberapa kali sebelum ini.

Ditanya apakah perasaan pelakon berusia 27 tahun ini berdamping bersama Aznil, katanya, dia tidak sabar untuk menjayakan pementasan itu bersama Aznil.

"Bukan mudah bergandingan dengan bintang seperti Pak Nil, sementelah lagi dia pernah melakonkan watak ketua penyamun sebelum ini.

"Kalau boleh biarlah lakonan saya nanti semantap lakonannya dan menyerlah di mata penonton," kata anak kelahiran Kelantan ini.