MENGANGKAT karya novel ke layar perak bukanlah satu kerja mudah dan ianya dibuktikan dengan penghasilan filem adaptasi, Tombiruo : Penunggu Rimba, yang sehingga kini masih lagi merangkumi pembikinan di peringkat lakon layar.

Walaupun memakan masa yang agak lama, ketiga-tiga produksi yang terlibat dalam pembikinan filem ini iaitu Kumpulan Media Karangkraf, Layar Sunan Sdn Bhd dan Ideate Media Sdn Bhd, sepakat memastikan kelancaran dan kemantapan dari segi latar penceritaan terlebih dahulu.

Di saat ini, pasti ramai penggemar dan pengikut karya-karya Ramlee Awang Murshid, ternanti-nanti Tombiruo di layar perak apabila filem difahamkan bakal menemui penonton pada tahun hadapan.

Namun, bagi golongan yang sebelum ini tidak mengikuti perkembangan novelis thriller terkenal ini, pastinya ada yang tertanya-tanya, apakah makna di sebalik Tombiruo dan bagaimana latar pembikinan awal novel ini dihasilkan?

Apakah keistimewaan Tombiruo itu sendiri di mata Ramlee sehinggakan karya ini menjadi filem adaptasi sulung daripada deretan novel-novelnya?

Berkesempatan menemu bual novelis hebat ini, Ramlee tidak keberatan untuk menyingkap kembali sejarah penghasilan novel ini yang ditulisnya lebih dua dekad yang lalu.

Menurut Ramlee, ketika novel Tombiruo ditulis, usianya ketika itu baharu sahaja menjangkau awal 20 an dan idea penghasilan adalah 100 peratus daripada pemerhatiannya mengenai isu semasa ketika itu.

"Sebenarnya, di awal tahun 90-an, saya sudah memikirkan mengenai idea untuk menghasilkan Tombiruo. Ketika itu, cerita sudah ada namun, saya masih memikirkan mengenai tajuk novel.

"Saya mahu agar orang mudah ingat dengan judulnya. Ketika itu, saya masih lagi di Sabah dan bertugas sebagai penulis skrip drama di Radio Televisyen Malaysia (RTM). Kebetulan pula, ibu mertua saya merupakan suku kaum Kadazan-Dusun.

"Saya bertanya kepadanya, apakah maksud hantu? Dia memberitahu, ianya dipanggil Tombiruo dalam suku kaum berkenaan. Dari situlah saya mendapat judul novel ini," katanya lagi.

Pun begitu, Ramlee memberitahu bahawa dia 'memeram' Tombiruo sehingga menghasilkan Igauan Maut dan Anugerah Pertama terlebih dahulu.

"Saya mula menulis Tombiruo apabila saya berada di Kuala Lumpur dan hanya menggunakan mesin taip pertama yang dihadiahkan ayah saya pada pertengahan tahun 80-an.

"Penulisan Tombiruo mengambil masa lebih setahun dan ketika itulah saya mendapat idea untuk mengembangkan lagi watak Tombiruo itu kepada dua karakter iaitu Ejim dan Amiruddin.

i"Sepanjang penghasilan novel itu, saya banyak membuat rujukan mengenai pembalakan, isu semasa dan bertanya kepada rakan-rakan termasuk menterjemahkan dialog ke dalam bahasa Kadazan-Dusun serta pakaian tradisi mereka yang diperbuat daripada kulit kayu,"
katanya lagi.
 
12 tahun baru pikat pembaca
 
Meskipun Tombiruo dihasilkan lebih 20 tahun lalu, namun isu yang diketengahkan itu masih lagi relevan untuk dikembangkan pada zaman ini.

Selain memaparkan isu semasa mengenai pembalakan haram yang dilakukan secara meluas, Ramlee memberitahu bahawa Tombiruo dihasilkan melalui konsep penulisan secara 'Intercut', dan menjadikannya satu perjalanan cerita yang tidak membosankan.

"Sebagai penulis skrip drama, setiap hari saya memikirkan idea untuk menghasilkan karya. Apabila pandangan ini dilontar jauh ke hutan, saya memikirkan Tombiruo.

"Namun, setelah lebih 20 tahun Tombiruo berlalu dan dengan perbandingan ilmu yang saya ada dahulu hingga sekarang, ada beberapa kelemahan yang saya kesan dalam novel berkenaan.

"Paling ketara adalah dari aspek perundangan di mana hukuman gantung itu hanya melalui proses yang singkat sedangkan secara realiti, ia memerlukan jangka masa yang panjang. Saya gambarkan di dalam Tombiruo hanyalah sebulan selepas dijatuhkan hukuman.

"Begitu juga dengan penceritaan mengenai watak apabila saya mengangkat Amiruddin secara berlebihan berbanding kisah sebenar iaitu Ejim atau Tombiruo itu sendiri.

"Setelah menyedari kelemahan itu, saya mula memperbaikinya menerusi novel, Semangat Hutan dan diharapkan adaptasi filem ini akan diperbaiki lagi ke tahap yang lebih memuaskan," jelasnya lagi.

Tambah Ramlee, usaha untuk membawa Tombiruo ke syarikat penerbitan bukanlah sesuatu yang mudah kerana novelnya sebelum ini, Anugerah Pertama, pernah ditolak kerana alasan tiada 'nama' ketika itu.

"Ketika itu, saya mencari-cari syarikat penerbitan yang mampu menerima tulisan saya dan ada rakan yang mencadangkan agar saya mencuba nasib di Karangkraf. Alhamdulillah, karya saya diterima, namun perlu menunggu hampir dua tahun untuk diterbitkan menerusi Alaf 21.

"Pada peringkat permulaan, jualan Tombiruo tidak begitu menggalakkan dan saya memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Sekitar 2005 hingga 2007, barulah ada peningkatan demi peningkatan. Hampir 12 tahun saya bersabar, akhirnya Tombiruo berjaya mencuri tumpuan pembaca.

"Malah, sehingga kini, Tombiruo masih lagi mendapat sambutan dan permintaan daripada golongan pembaca. Boleh dikatakan, saya memerlukan masa lebih 10 tahun untuk mendekatkan Tombiruo di hati pembaca," katanya.
 
Bapa pencetus semangat
 
Di antara deretan novel nukilannya termasuk Ranggau, Mandatori, Pei Pan, ADAM, Satu Janji, Bagaikan Puteri, Hatiku Diharajuku, Cinta Sang Ratu, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencinta, Mikhail, 9 Nyawa, Cinta Sufi, Rayyan Fantasi, Sutera Bidadari, Aku Bercerita, Mitos dan

Magis, masing-masing menggambarkan sesuatu yang istimewa buat Ramlee.

Menurutnya, jika bercerita mengenai populariti, legasi Sunan seperti Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu dan Hijab Sang Pencinta, adalah yang paling dekat untuk digambarkan mengenai novelnya itu.

"Ya, kalau dilihat dari segi populariti, ia mengingatkan saya akan legasi Sunan. Namun, bila menggambarkan novel yang membuatkan salah berpeluh adalah Rahsia Perindu.

"Manakala Tombiruo pula adalah novel yang mengingatkan saya akan kerja keras, kesukaran untuk mendapatkan rujukan serta nostalgia istimewa. Hanya berbekalkan mesin taip pemberian ayah saya, Awang Murshid, sudah pastinya ia memberi kenangan buat saya.

"Malah, Tombiruo menjadi permulaan minat saya dalam bidang penulisan sehingga membawa saya untuk terus berkhayal serta berimaginasi. Malah, ayah saya merupakan pencetus semangat saya untuk terus melangkah dalam bidang ini," katanya lagi.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :