• Tika Bidadari Berbisik – Pesanan Buat Seorang Suri dan Miss Single Tika Bidadari Berbisik
1 /

KEKECEWAAN  dan pahit derita pasti pernah datang dalam hidup tetapi kita tidak harus selamanya tinggal di dalam perasaan itu. Anggaplah kekecewaan lampau seperti sebuah album. Disimpan dan diletakkan di satu tempat yang selamat.

Apabila ingin mengimbas kembali kenangan itu, buka dan tatapilah sebentar sahaja dan tutuplah semula supaya kita tidak asyik menatap dan mengenangnya. Kenangan itu perlu sebagai lakaran pementasan hidup supaya ia menjadi sempadan di antara kedukaan dan kebahagiaan.

Di dalam bab ini, hayati dan pelajarilah bagaimana untuk merawat hati dan bangun kembali daripada kelukaan yang pedih. Semoga kita bertemu kedamaian yang dicari. Insya-ALLAH.

Mengubat Hati yang Luka

Beberapa cara boleh kita amalkan untuk mengubati hati yang terluka. Keberkesanannya bergantung kepada diri sendiri. Berikut adalah cara yang sering dikongsi oleh pakar:

* Latih minda melupakan kenangan pahit

Bunyinya senang tetapi memerlukan kecekalan melaksanakan dengan syarat ia perlu diaplikasi secara berterusan. Akui sahaja bahawa kita sering dilanda kesedihan kerana mengingati kenangan pahit atau selalukembali ke memori silam.

Kita perlu buang dan putuskanhubungan dengan emosi lalu. Masa tidak akan dapat diputar kembali, memandang ke hadapan dan terus berjalan adalah lebih baik daripada berhenti berjalan dan menoleh kembali.

Mulai hari ini, kita harus bertekad untuk melupakan semua itu sebanyak mungkin. Bulatkan azam untukfokus kepada masa depan, cita-cita, keluarga, kerjaya, kewangan, pertingkatkan ilmu dan apa sahaja elemen yang berpotensi untuk membahagiakan.

Benar, kita tidak akan dapat melupakan kesemua memori pahit sekali gus,tapi lakukan langkah demi langkah dengan mengalihkan perhatian kepada perkara lain. Proses ini mengambil masa, tapi ia boleh dipercepatkan dengan disiplin diri. Contohnya, jangan sesekali menyentuh atau memandang segala bentuk hadiah atau apa sahaja barang yang membuatkan kita mengingati si dia atau kenangan lalu.

Jika mampu, buang sahaja segala bentuk tanda kenangan yang selama ini memberat dan membebankan hati. Ini membuktikan kita dibekalkan oleh ALLAH S.W.T kekebalan hati dalam mengharungi kehidupan.

*Buang sikap risau

Ada dua kesan daripada sikap risau ini, pertama ia menarik nasib tidak baik tanpa dipinta dan kedua dikhuatiri akan memberi kesan buruk kepada kesihatan dari segi fizikal dan mental. Perasaan risau boleh membuatkan kita menjadi sedih dan kecewa.

Untuk membuang sikap itu, belajarlah untuk bertenang dan latih diri mengawal emosi. Ingatlah ALLAH S.W.T dan kenangkan segala pemberian indah yang pernah dikurniakan seperti kejayaan, ketenangan ataupun ahli keluarga sentiasa di sisi dan memberi kekuatan kepada kita.

Kemudian, senyum, senyum dan senyumlah seikhlasnya! Kita hanya manusia biasa dan selalu memikirkan sesuatu yang belum berlaku. Sekiranya sukar untuk menghindari perasaan itu, catatkan kerisauan tersebut dalam sebuah buku, diari atau blog. Setelah itu panjangkan idea itu dengan memikirkan cara mengatasinya. Kemudian tutuplah buku tersebut dan ringankan kepala dengan berhenti mengenangkan kerisauan.

*Belajar rajin bersyukur

Latihlah lidah untuk mengucapkan syukur dengan apa jua pemberian TUHAN. Sedih, bahagia dan derita adalah kurniaan-NYA. Tidakkah kita berasa bertuah apabila dipilih oleh ALLAH S.W.T untuk menghadapi rintangan dan halangan?

Tidakkah disedari bahawa setiap ujian dan kedukaan yang sedang dilalui adalah penghapus dosa? Ucaplah syukur seikhlas hati, sebanyak yang mungkin hingga rasa syukur itu meresap jauh ke dalam diri. Jadikanlah hadis ini sebagai panduan tatkala kita mulai rasa penat untuk bersyukur.

Sedangkan Rasulullah s.a.w yang bebas daripada dosa dan diberi jaminan kemuliaan oleh ALLAH S.W.T tidak pernah berhenti bersyukur, apatah lagi kita manusia biasa. Kita sebagai manusia biasa tidak akan lepas daripada melakukan dosa. Dan daripada itulah kita tidak seharusnya berhenti daripada mengucapkan syukur kepada ALLAH S.W.T.

Daripada Aisyah r.a bahawasanya Rasulullah s.a.w berdiri untuk bersembahyang pada waktu malam sehingga pecah-pecah kedua tumit kakinya. Saya lalu berkata, “Mengapa anda mengerjakan sedemikian ini, padahal anda itu sudah diampuni oleh ALLAH dosa anda yang terdahulu dan yang di belakangnya.” Baginda s.a.w menjawab, “Kalau begitu tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?” - Riwayat oleh Bukhari dan Muslim)- Dipetik dari buku Untaian MutiaraHadis-hadis Rasulullah s.a.w/Dr. Ahmad Umar Hasyim m/s 416)

*Belajar menjadi pemaaf


Sikap pemaaf dapat membersihkan hati daripada emosi emosi negatif. Seterusnya, meneutralkan gelombang fi kiran negatif yang bersarang di minda. Ketahuilah, bahawa kita akan sentiasa bersedih dan kecewa kerana tidak dapat memaafkan kesalahan diri pada masa lalu ataupun tidak dapat memaafkan kesalahan orang lain suatu ketika dulu.

Belajar menjadi pemaaf dan menghapuskan semua ini akan menarik ketenangan pada diri. Ingatlah, kita adalah wanita terhebat apabila mampu memaafkan mereka yang melukai dan menghancurkan hati sebelum menunggu mereka meminta maaf.

Apabila tiba waktunya si dia menyatakan permohonan maaf, suarakanlah kepadanya, “Saya adalah wanita yang hebat kerana sebelum kamu memohon maaf, saya telah memaafkan kamu terlebih dahulu.”

Mampukah kita menjadi wanita terhebat?

*Ketawa, ketawa dan terus ketawa

Ketawa bukan dibuat-buat, tapi biar ketawa yang benarbenar menggembirakan serta menjadikan kita girang. Tonton video lucu, baca cerita lucu, dekatkan diri dengan rakan-rakan lucu serta carilah bahan yang boleh membuatkan kita ketawa dalam setiap situasi; agar boleh ketawa secara spontan.

Ketawa dapat menghilangkan sedih. Buat apa dilayan rasa kecewa sedangkan kita boleh ketawa? Tetapi jangan sesekali mentertawakan orang di atas kegagalan yang mereka hadapi. Ketawalah kepada sesuatu yang tidak akan melukai diri atau orang lain kerana itu adalah permulaan kebahagiaan. Tetapi ketawa janganlah secara berlebihan kerana ia akan melupakan kita kepada akhirat.

*Ubah fikiran

Kita tidak boleh merubah situasi yang boleh membuatkan kita kecewa, sedih dan murung. Tapi, kita boleh merubah fi kiran dan menjadikan kekecewaan itu sebagai perangsang jiwa untuk lebih maju.

Terjemahkan kekecewaan melalui kaedah atau saluran yang lebih bermanfaat. Contohnya, andai putus cinta dan berasa kecewa, maka kita boleh menyalurkan pengalaman itu dengan mereka yang belum pernah merasainya sebagai teladan. Walaupun sesuatu perkara itu tidak berpihak kepada kita, carilah cara bagaimana untuk menemui nilai-nilai positif di dalamnya.

*Hati mesti ‘keras’

Bukan keras sembarangan. Ia bermaksud mempunyai kesabaran yang tinggi, pandai mengawal emosi dan menerima hakikat dengan hati terbuka. ALLAH menurunkan musibah, permasalahan dan macam-macam ujian lain bukan sekadar dugaan, tapi balasan pada perbuatan-perbuatan kita pada masa lalu. Yakin sahaja dengan peribahasa, “Buat baik, dibalas baik, begitu juga sebaliknya.”

Cuba kenang semula kejahatan kecil yang dilakukan kepada orang lain, mungkin ada walau tidak disedari. Itulah perlunya kita bersikap baik dan berfi kir yang baik-baik kepada semua orang, benda, perkara, situasi dan keadaan.

Sebelum masuk tidur, setkan minda untuk menjadi ceria pada keesokan hari. Lafazkan dengan nada berbisik. Relaks, jangan terlalu mendesak. Selepas bangun tidur, katakan pada diri bahawa hari ini adalah hari baru dan kita akan hargai hari ini! Tepuk dada sebagai dorongan bahawa kitalah wanita terhebat yang dicipta oleh ALLAH S.W.T. Tekadkan diri untuk menjadikan hari yang baru itu hari yang baik berbanding hari yang sebelumnya. Insya-ALLAH.

30 Kaedah Menuju Bahagia

30 kaedah menuju bahagia ini dipetik dari sebuah buku karya Dr. ‘Aidh Abdullah Al-Qarni. Semoga kaedah ini mampu membantu memantapkan hati dan jiwa yang lemah. Insya- ALLAH:

1- Hiduplah untuk hari ini dan lupakan hari semalam dan tidak usahlah berfikir tentang hari esok. Hargai hari ini kerana ALLAH S.W.T nyata memberikan pinjaman hidup untuk hari ini. Hari esok belum tentu menjadi milik kita kerana, sebagai manusia kita sendiri tidak tahu masihkah ada hari esok atau sebaliknya.

2- Lupakan masa lalu dan semua perkara yang pernah terjadi. Tumpukan pada masa kini kerana memikirkan masa lalu dan sesuatu yang telah berlaku merupakan kebodohan dan akan menyebabkan kegilaan. Masa lalu hanya akan memakan diri dan membuatkan kita terus berada di dalam kegelapan.

3-Jangan menyibukkan diri dengan memikirkan masa depan kerana ia masih di alam ghaib. Jangan fi kirkan sehingga tiba harinya. Nikmati hari ini selagi termampu.

4- Jangan mudah tergugat dengan kritikan. Teguhkan pendirian dalam menghadapinya. Anggaplah kritikan yang diterima akan menjadikan diri lebih bagus daripada sekarang. Kritikan dan sindiran tidak dapat membunuh kita, ia hanya sekadar dapat mematahkan semangat dalam tempoh sementara sahaja. Dan kita akan bangun berdiri lebih lama daripada jatuh terduduk. Maka ketepikan sahaja kritikan itu!

5- Beriman kepada ALLAH S.W.T dan melakukan amal soleh adalah kehidupan yang baik dan bahagia. Mungkin selama ini kita meninggalkan amal ibadat dengan sengaja atau tidak sengaja. Nah! Inilah masa untuk kembali dan mengisi kehidupan dengan melakukan amalan kebaikan yang pernah ditinggalkan.

6- Barang siapa menginginkan ketenangan, ketenteraman dan kesenangan, maka berzikirlah kepada ALLAH S.W.T. Hanya dengan mengingati-NYA akan mendatangkan kedamaian di hati.

7- Setiap hamba harus menyedari bahawa segala sesuatu yang terjadi itu adalah ketentuan qadak dan qadar. Belajarlah untuk bersikap redha dengan menerima sesuatu itu sebagai takdir ILAHI yang mempunyai hikmah tersembunyi.

8-Jangan menunggu ucapan terima kasih daripada seseorang kerana tanpa mengharapkan balasan adalah sangat membahagiakan.

9- Persiapkan diri dengan kemungkinan terburuk kerana apabila kita sudah bersedia dengan perisai kekebalan menghadapi segala kemungkinan, maka tiada apa yang tidak mampu di atasi. Hadapilah dengan berani!

10- Kemungkinan yang terjadi masih ada sesuatu yang terbaik untuk kita. Kita sangat lemah dan terbatas pengetahuannya. Percayalah... bahawa setiap yang berlaku itu merupakan tanda bahawa ALLAH S.W.T sangat menyayangi kita!

11- Anggaplah sesuatu ketentuan takdir itu ada hikmahnya. Hanya ALLAH S.W.T yang mengetahui.

12- Berfikirlah tentang nikmat dan bersyukurlah di atas apa yang pernah diterima. Selalu mensyukuri nikmat yang diberi tidak akan membuatkan kita miskin hati!

13- Percayalah bahawa apa yang kita miliki adalah jauh lebih banyak daripada yang dimiliki oleh orang lain. Ini lahir daripada perasaan syukur yang dididik di dalam jiwa nurani.

14- Yakinlah bahawa dari semasa ke semasa pasti ada jalan keluar terhadap masalah yang dihadapi. Sabar adalah resipi terbaik bagi mendapatkan jalan keluar! Jangan khuatir kerana ALLAH S.W.T akan menunjukkan jalannya.

15- Anggaplah dengan musibah yang berlaku, hati akan tergerak untuk berdoa dan mengingati ALLAH S.W.T. Berdoa adalah senjata mukmin bagi mencapai hasrat yang diingini.Jangan sesekali berputus asa dengan doa, buktikan pada ALLAH S.W.T keikhlasan kita sebagaihamba-NYA.

16- Musibah itu menajamkan nurani dan menguatkan hati. Pengalaman pahit adalah guru yang terbaik dalam hidup ini. Ia mengajar kita menjadi cekal dan teguh sekukuh gunung yang menopang bumi.

17- Setiap kesulitan pasti ada kemudahan. Ini janji TUHAN dan dipaterikan di dalam kalam al-Quran.

18- Jangan hancurkan hidup hanya kerana perkara-perkara remeh kerana masih banyak lagi perkara penting yang perlu kita kendali dan selesaikan.

19- Sesungguhnya TUHAN itu sangat luas pengampunan-NYA. Maka bermohonlah disertai keikhlasan.

20-Jangan marah, jangan marah, jangan marah. Marah hanya akan membutakan hati yang sememangnya buta jika tiada iman di dada.

21-Jangan risau jika tidak ada harta dunia kerana hidup ini tidak lebih hanya sekadar sepotong roti, seteguk air dan bayangan. Harta dunia tidak akan dibawa bersama di dalam kubur, sebaliknya amalan kebaikanlah yang akan menjadi harta yang ‘dibelanja’.

22- Di langit sudah ditentukan rezeki kita dan telah ditetapkan apa yang akan diperolehi. Maka terimalah dengan berlapang dada dan berdoalah sentiasa semoga pemberian itu mencukupi. Perasaan mencukupi itu adalah anugerah terbaik daripada ALLAH S.W.T berbanding dengan kurniaan emas yang menggunung kepada hamba-NYA yang sering berasa tidak cukup.

23- Kebanyakan kita takutkan apa yang tidak akan berlaku. Jadi lupakan semua itu dan kembali menjadi diri sendiri. Jadilah seperti yang kita mahu dan jangan biarkan orang lain mempengaruhi hidup!

24- Jadikan segala musibah yang berlaku sebagai teladan. Tukarkan musibah itu kepada hikmah terbaik yang menjadi anugerah terhebat yang pernah kita miliki.

25- Ingatlah, ALLAH S.W.T menyayangi kita, kerana sayanglah DIA menguji! ALLAH S.W.T terlalu rindu kepada kita untuk kembali pada-NYA. Renungkan usia kita dan lihatlah betapa lamanya ALLAH S.W.T menanti kita kembali kepada-NYA. Kembalilah ke jalan yang diredhai.

26- Doa, doa dan doa. Usah sesekali berputus asa dengan berdoa.

27-Isilah masa lapang sebaik mungkin. Jangan biarkan masa berlalu dengan satu pembaziran. Alangkah ruginya.  Masa itu emas, emas itu mahal harganya pada zaman ini! Maka hargailah masa lebih daripada menghargai emas, kerana kita tidak akan mampu membeli masa yang telah berlalu pergi.

28- Kedengkian dan keinginan untuk membalas dendam akan membahayakan kesihatan, lebih besar daripada bahaya yang akan menimpa pihak lawan. Dendam yang tersimpan tidak akan membahagiakan. Percayalah!

Imam As-Syafie memberi wasiat, “Ketahuilahbahawa sebesar-sebesar kesenangan di dunia adalahmemberi maaf kepada orang lain dan melupakanterus kesalahannya, nescaya ALLAH S.W.T akanmeninggikan darjatnya di sisi manusia.” - Dipetik dariBuku Wasiat 4 Imam/Abu Ahmad Yasin M/s 468

29- Jangan percayakan khabar angin dan jangan endahkan umpatan orang. Hiduplah untuk diri sendiri kerana hanya kita yang lebih mengerti tentang diri sendiri dan bukan orang lain.

30-Setiap duka dan musibah adalah penghapus dosa. Jadi berhentilah daripada bersedih. Ternyata ALLAH S.W.T sedang membuka pintu peluang untuk melangkahlah masuk dengan penuh ketabahan dan kesabaran.

Bacalah kata-kata ini sebagai penguat jiwa yang berduka:

Jika ALLAH S.W.T menguji kita sekali, bersujudlah kita kepada-NYA lebih sepuluh kali, Semakin kita jauh daripada ALLAH S.W.T, semakin dekat ALLAH S.W.T akan menghampiri kita Semakin kita menghampiri ALLAH S.W.T, semakin kuat ALLAH S.W.T akan menduga kita Kerana ALLAH S.W.T begitu menyayangi kita..

Tersenyumlah untuk itu!


Bagi yang tiada masa ke kedai buku, bolehlah membuat pesanan secara pos.  Sila bank in bayaran (menurut harga buku)  ke akaun Karangkraf Mall Sdn Bhd. (Maybank - 0142 7120 4204). Tambah RM7 senaskhah bagi kos pos. Kemudian, fakskan slip bank (nyatakan nama, judul buku, alamat & no.tel) ke 03-5101 7483.

Atau sertakan Kiriman Wang/Wang Pos/Cek atas nama KARANGKRAF MALL SDN. BHD. Kirimkan ke Unit Langganan Karangkraf Mall Sdn Bhd, P/S 7041 Pejabat Pos Besar Shah Alam, 40700 Shah Alam, Selangor.

Sebarang pertanyaan mengenai langganan sila hubungi  03 51017480/7481 /7478 HP: 019-3310102 atau http://mall.karangkraf.com