SIAPA masih ingat filem mumia, The Mummy?

Jika diimbau semula sejarah pembikinan filem ini, filem pertama The Mummy dibuat pada tahun 1932 diikuti beberapa siri berbeza sehinggalah tahun 1971.

Kemudian pada 1999, Stephen Sommers tertarik untuk membuat semula filem The Mummy berdasarkan naskhah pertama dan menyaksikan Brendan Fraser memegang watak utama bersama Rachel Weisz, John Hannah dan beberapa pelakon lain.

Sentuhan Sommers ternyata mencetuskan satu fenomena baru sehinggalah wujud sekuel The Mummy Returns pada 2001 diikuti The Mummy: Tomb of the Dragon Emperor (2008) yang diarahkan Rob Cohen, manakala Sommers hanya duduk di kerusi produser.

Biarpun pada asalnya mereka merancang membuat filem keempat, namun Universal Pictures akhirnya mengumumkan pembatalannya sehinggalah pada 2012, pihak Universal mengumumkan mereka akan memulakan reboot baru filem The Mummy.

Walaupun berdepan dengan beberapa masalah termasuk penarikan diri dua pengarah awal, namun filem ini berjaya dimulakan dengan dan Alex Kurtzman sebagai pengarah, manakala Tom Cruise adalah heronya.

Selain Cruise sebagai Nick Morton, filem ini turut dibintangi Sofia Boutella, Annabelle Wallis, Jake Johnson, Courtney B Vance dan Russell Crowe.

Filem kali ini mengisahkan Puteri Ahmanet ditanam hidup-hidup di makam di bawah padang pasir di Mesir 2,000 tahun lalu sebagai hukuman kerana membunuh bapanya. 

Puteri purba itu kemudian telah bangkit pada era moden apabila makamnya ditemui. Dia yang menyimpan dendam sejak beribu tahun mula membawa kemusnahan dan malapetaka kepada manusia.

Berkongsi pembikinan filem ini, Kurtzman berkata, mereka memulakan penggambaran pada di Kota London selain kawasan padang pasir di Namibia, Afrika. 

"Ketika pihak Universal datang menemui saya dan memberitahu mereka mahu menjalani semula filem The Mummy, pelbagai persoalan bermain di fikiran saya. Bagaimanapun bila sudah bermula, saya harap penonton tidak akan membandingkan perbezaan karya saya dan Sommers.

"Ia tentu sekali berbeza, namun perbezaan itu tidaklah terlalu ketara," katanya yang teruja bekerja bersama Cruise.

Kurtzman berkata, apa yang diharapkan, filem ini akan memuaskan hati semua orang dan mungkin akan menjadi permulaan untuk filem-filem mumia selepas ini.

 

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARU saja dikejutkan dengan berita menjalani pembedahan membuang ketumbuhan Endometriosis dalam rahimnya pada awal September lalu, pelakon dan pengacara, Scha Al Yahya, kini giat merencanakan karier seninya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.