PELAKON, Adam Corrie menerusi Instagram miliknya berkongsi foto bersama adiknya yang juga merupakan seorang muslim.

Dalam perkongsian panjang lebar itu Adam memberitahu mereka sudah terpisah sekian lama dan dalam keluarga, hanya mereka berdua sahaja yang kini beragama Islam.

"Ini adik lelaki saya, Shah. Kami terpisah selama 36 tahun. Sejak beliau dilahirkan. Jumpa semula 10 tahun lalu.

"Alhamdulillah Shah dibesarkan dalam keluarga muslim sebagai muslim. Alhamdulillah sekarang beliau sudah berusia 46 tahun.

"Masih bujang. Dah berpunya atau belum, saya tak tahu. Jadi dalam keluarga saya, saya dan adik sahaja yang muslim," tulisnya.

Pada masa sama, Adam memberitahu hidayah itu datangnya dalam pelbagai cara, namun apa yang penting adalah istiqamah.

"Allah berikan hidayah Islam kepada hambaNya dalam pelbagai cara. Ada yang bertuah, lahir dalam keluarga beragama Islam.

"Ada yang perlu menjadi cahaya Islam bertahun-tahun baru dapat cahaya Islam. Ada yang dihujung nyawa ALLAH campakkan hidayah Islam pada diri mereka.

"Walau bagaimana cara pun kita menerima hidayah. Yang penting kita istiqamah dalam hidup ini sebar kebaikan pada semua," coretnya.

Adam memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan isterinya, Fazema Mohd Fuad, 36 pada 2008.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki bernama Adam Fateh Lee pada 11 Julai lalu selepas 10 tahun penantian.