MASALAH tayar menjadi penghalang buat Mohd Zaqhwan Zaidi untuk meraih podium pada Perlumbaan 1 SuperSports 600cc di Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sentul, Indonesia, hari ini.

Zaqhwan bagaimanapun gagal meneruskan aksi cemerlangnya sepanjang sesi latihan dan kelayakan.

Pelumba Musashi Boon Siew Honda Racing itu muncul pelumba terpantas dalam kesemua sesi latihan dan pusingan kelayakan dan memulakan perlumbaan akhir dari petak pertama namun terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan akhir di kedudukan keempat dengan masa keseluruhan 24’17.082s.

Menurutnya, dia bermula dengan baik, namun mengalami kesukaran untuk mengekalkan kedudukan di kelompok hadapan.

"Selepas dipintas beberapa pelumba, saya dapati sukar untuk mengejar mereka dan keadaan tayar juga semakin teruk.

“Mungkin pelarasan yang saya gunakan tidak begitu baik menyebabkan tayar saya mengalami masalah meskipun memilih jenis tayar yang sama dengan pelumba lain. Keadaan cuaca lebih sejuk berbanding ketika sesi kelayakan. Saya akan melakukan sedikit perubahan terhadap jentera dan akan bekerja lebih keras untuk menaiki podium dalam perlumbaan kedua esok," katanya.

Sementara itu, pelumba wildcard, Dimas Ekky Pratama (Astra Honda Racing Team) muncul juara setelah menamatkan 16 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 24’16.982s.

Pelumba jentera Manual Tech KYT Kawasaki Racing, Ahmad Yudhistira pula muncul naib juara dengan masa keseluruhan 24’17.015s diikuti Taiga Hada (Rama Honda) ketiga, 24’17.082s.

Seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ketujuh kekal di tangga teratas keseluruhan dengan 111 mata diikuti Hada, 94 mata dan Zaqhwan, 93 mata.

Trio Astra Honda Racing menguasai ketiga-tiga podium dalam saingan Asia Production 250CC diketuai Gerry Salim yang meraih kemenangan keenam pada musim ini dengan masa 20’51.073s.

Rheza Danica Ahrens muncul naib juara dengan masa 20’53.715s diikuti Andi Farid Izdihar ketiga, 20’53.997s.

Pelumba muda negara, Md Akid Aziz (Uma Racing Yamaha Maju Motor) menghadiahkan kemenangan buat kontinjen negara setelah menjuarai perlumbaan Underbone 150cc dengan masa 18’46.517s untuk terus kekal di tangga teratas keseluruhan dengan 118 mata.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PELUMBA Pasukan Givi Honda Yuzy Racing, Mohd Zaqhwan Zaidi enggan mengalah meskipun saingan kategori CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia Petronas musim 2017 masih belum memihak kepada dirinya.
  • PELUMBA SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi perlu menang dalam kedua-dua perlumbaan SuperSports 600cc untuk menghidupkan peluang dalam mempertahankan gelaran juara keseluruhan musim 2016 pada saingan pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan berlangsung di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India minggu ini.
  • PELUMBA negara, Mohd Zaqhwan Zaidi memulakan musim 2017 dengan cemerlang apabila berjaya memenangi Perlumbaan 1 kategori SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di Litar Johor, Pasir Gudang, Johor, hari ini.
  • PELUMBA SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi menjangkakan saingan lebih sengit dengan kepulangan dua bekas juara, Azlan Shah Kamaruzaman dan Yuki Takahashi pada saingan Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Buddh, New Delhi, India minggu ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.