HANYA dengan sekali lafaz, penyanyi Tasha Manshahar, 26, selamat bergelar isteri kepada pasangannnya, Fahrur Raqib Abdul Majid, 27, dalam majlis ijabkabul yang berlangsung di Masjid jamek, Kajang, sekitar 9.30 pagi tadi.

Tasha atau nama lengkapnya, Nur Nadia Natasha, dinikahkan sendiri oleh bapanya, Mohd Manshahar dengan disaksikan keluarga dan saudara mara terdekat dalam majlis yang cukup harmoni.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM300 beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh. Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan kedua belah pihak.

Pasangan ini  mengikat tali pertunangan pada 24 Disember tahun lalu setelah mengenali hati budi masing-masing selama dua tahun.

Tasha yang dikenali menerusi Ragu-Ragu dan Bukan Aku ini kini bertugas sebagai guru di sebuah sekolah rendah di Melaka. Manakala Raqib pula merupakan penyampai radio Zayyan dan pernah menghasilkan single bersama kumpulan Unic, Bintang Syurga, selain album sendiri, Luahan Rasa (2014).

Difahamkan majlis resepsi sebelah pihak perempuan akan berlangsung di Royal Palace, Shah Alam, esok. Sementara pihak sebelah pihak lelaki pula bakal berlangsung di The Muzaffar Hotel, Melaka pada 22 September ini.