MALAM sebelum pasangan sepadan Fattah Amin dan Nur Fazura berangkat ke tanah suci Makkah minggu lalu, kecoh kononnya mereka mengadakan satu majlis di rumah keluarga Fazura.

Majlis itu tidak diketahui tujuannya sama ada majlis bertunang, bernikah atau sekadar majlis doa selamat sempena berangkat mengerjakan umrah pada keesokan harinya.  

Seperti seorang perisik, Gempal pun membuat tinjauan di Instagram pelakon kesayangan ramai ini, namun yang ada hanyalah Fattah meletakkan gambar Kaabah berserta status ‘semoga semuanya dipermudahkan’.  

Status tersebut telah mengundang pelbagai persoalan di kalangan peminat. Ada yang mengucapkan selamat pergi dan selamat pulang kepada Fattah dan Fazura yang mengerjakan umrah bersama keluarga.  

Ada juga yang mengucapkan tahniah di atas majlis pertunangan atau pernikahan yang berlangsung. Semuanya menjadi teka-teki. Pandai Fattah dan Fazura main sembunyi-sembunyi ya.    

Sinar Harian telah menghubungi pihak pengurusan Fattah kerana nak tanya Fattah sendiri memang tak akan berjawab la sedangkan Whatsapp pun tidak berbalas. Faham, mungkin Fattah sedang terlalu sibuk atau mahu berdiam diri.  

Hanya dimaklumkan oleh pihak pengurusannya bahawa mereka akan menyediakan siaran media secepat yang mungkin berkenaan hal ini.  

Pada keesokannya harinya pula, pagi-pagi lagi difahamkan Fattah berada di KLIA untuk mengerjakan Umrah bersama keluarganya bermula 15 hingga 23 November.  

Benar, rupanya Fattah pergi bersama Fazura dan disertai keluarga masing-masing dan rakan-rakan terdekat.   

Seperti yang dijanjikan, pengurusan Fattah telah memberi kenyataan media mengakui perjalanan mereka berdua ini turut disertai ahli keluarga kedua belah pihak dan wakil pengurusan.

“Dengan penuh rendah diri, Fattah dan Fazura ingin memohon seribu kemaafan dan memohon doa daripada semua rakan-rakan wartawan dan para peminat semoga umrah mereka dipermudahkan dan berjalan dengan selancar-lancarnya. Insya-ALLAH.  

“Berikutan susulan dari perkara ini, pihak Fattah Amin dan Nur Fazura akan mengadakan satu sidang media pada 23 November 2017.

“Lokasi & masa sidang media ini akan kami kongsikan di waktu terdekat ini.

“Terima kasih atas doa-doa kalian dan insya-ALLAH, semoga diberkati dengan umrah yang mabrur,” ujar Fattah Amin dan Fazura.  

Jadi kepada peminat #fattzura, sama-samalah kita tunggu tarikh 23 November itu.  

Yang menjadi persoalan sekarang adalah, adakah mereka pergi ke Makkah sebagai pasangan rakan sesama artis atau sudah bertunang atau sudah bernikah?

Atau mungkinkah nanti kepulangan mereka adalah sebagai pasangan suami isteri?  

Semua itu Gempal tidak dapat pastikan dan masih menjadi tanda tanya.  

Walau apa pun, Gempal doakan yang terbaik buat pasangan ini.  Andai benar telah mengikat janji setia untuk sehidup semati, apa salahnya?  Gempal sokong dan rasa sangat gembira.  

Apa yang Gempal harapkan adalah berita gembira untuk peminat yang setia menunggu kepulangan anda berdua. 

GEMPAL: Peminat #fattzura

Artikel berkaitan yang patut anda baca :