Setelah berjaya mencatat jumlah penonton 4.5 juta sepanjang dua musim tayangan, kini Tanah Kubur kembali untuk musim ketiga. Rancangan tersebut akan bermula pada 24 Februari ini, jam 7.30 malam, setiap Jumaat, di saluran Astro Oasis.

Menurut Pengarah drama tersebut, Rashid Sibir, dengan kejayaan drama bersiri tersebut, ia sememangnya memberi satu kepuasan kepadanya kerana dapat mengangkat sesuatu yang menginsafkan kepada penonton.

“Saya sangat bersyukur kerana drama Tanah Kubur ini dapat diterima baik. Bila difikirkan kembali, terasa berbaloi dengan setiap usaha dan titik peluh kami dalam mengangkat karya ini ke kaca televisyen.

“Bagi musim ketiga, Tanah Kubur masih mengekalkan manusia sebenar sebagai jenazah yang dikapankan mengikut ukuran kain kapan sebenar sebanyak tujuh lapis dan pengebumian mengikut hukum. Mayat juga dimandikan seperti mana jenazah yang betul kerana saya mahu memberi gambaran sebenar kerana drama ini juga di tonton pakar agama," katanya.

Masih mengekalkan kandungan mengenai balasan akibat perbuatannya semasa kematiannya, Rashid berkata, penceritaan bagi musim ketiga ini lebih kuat dan mendalam dengan pendedahan terhadap balasan semasa melalui saat kematian dan ketika proses dikebumikan.

"Musim ketiga ini saya melakukan beberapa perubahan, tetapi tidak banyak. Jika musim pertama dan kedua lebih kepada hukuman yang diterima, musim ketiga lebih kepada penceritaan.

"Apa yang penting, setiap episod tersebut, tidak lari dari niat saya untuk memberi pedoman kepada masyarakat dan bukannya untuk mengajar orang. Menerusi apa yang dipaparkan, saya mahu mereka berfikir. Sama ada mereka terasa atau tidak, itu terpulang.

"Pada pendapat saya, kita tidak perlu jalan cerita yang berat untuk mengajar. Apa yang lebih penting sekarang ialah kita dapat memberikan kesedaran," katanya.


Berdasarkan kisah benar

Rashid berkata, segala kisah yang dipaparkan, bukan direka untuk tujuan komersial semata-mata, tetapi telah dilakukan rujukan berdasarkan beberapa hadis dan kisah benar dari penggali kubur.

"Saya tidak semberono menayangkan balasan-balasan, tetapi saya telah melakukan beberapa rujukan berdasarkan kisah benar yang dilalui oleh orang lain. Selain itu, saya turut selitkan hadis-hadis bagi menguatkan lagi jalan cerita dan sebagai peringatan kepada penonton.

"Bagaimanapun, saya tidak menunjukkan balasan secara detail kerana kita sebagai umat Islam, tidak boleh menggambarkan bagaimana bentuk hukuman yang dijanjikan oleh ALLAH SWT kepada umat-Nya," jelasnya lagi.


Kekalkan Nasir Bilal Khan

Masih mengekalkan watak utama, Tok Adi, lakonan Nasir Bilal Khan, rancangan tersebut juga bakal menampilkan pelakon-pelakon seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Hamidah Wahab, Talha Harith, Johan As’ari, Liza Abdullah dan Jimmy Shanley.

“Pada musim kedua, saya perkenalkan watak anak angkat Tok Adi yang dimainkan pelakon baru, Talha Harith yang diharapkan akan mewarisi pekerjaan Tok Adi. Saya juga masukkan watak Hamidah Wahab yang pasti akan memberikan tanda tanya apakah hubungan antara Tok Adi dengan Hamidah Wahab. Apakah ia juga ada kaitan dengan Tok Adi ketika zaman mudanya,” kata Rashid.

Untuk musim ini, antara isu yang dipaparkan termasuk susuk kuat sembahyang, tidak menghormati al-Quran, mensia-siakan anak yatim, menipu dalam perniagaan, lelaki memakai perhiasan emas, bermain nombor ekor, gigolo, masalah pembahagian harta pusaka, mengutuk ulama dan murtad.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PELAWAK Fad Bocey mengucapkan syukur di atas kelahiran anak ketiganya iaitu seorang puteri awal pagi tadi.
  • BERGELAR ibu merupakan suatu anugerah yang pastinya menjadi impian setiap wanita yang mendirikan rumah tangga. Apatah lagi menerusi kehadiran cahaya mata, ia boleh diibaratkan sebagai penyeri di dalam bahtera rumah tangga yang dibina bersama pasangan.
  • TAMPIL berbeza melayakkan Syifa menjuarai program realiti kanak-kanak, Ceria I-Star 2017, kelmarin.
  • FILEM superhero yang ditunggu ramai tahun ini, Justice League arahan Zack Synder sudah menemui penonton bermula 16 November lalu dengan persembahan yang penuh dengan kejutan.
  • JULIA Fiona Roberts atau lebih dikenali dengan nama glamor, Julia Roberts, bukan bintang asing di persada seni Hollywood.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.