BARU-baru ini ramai selebriti tanah air yang dikecam di media sosial dan dilabelkan sebagai ‘lalang’ apabila dilihat berpaling arah menunjukkan sokongan kepada kerajaan baharu walaupun sebelum ini dilihat menunjukkan sikap sebaliknya.

Pelakon Apa Celop Tok, Taiyuddin Bakar turut melihat ia sebagai sesuatu yang tidak sihat dan berkongsi pandangannya berkenaan hal ini di laman Instagram miliknya semalam.

“Ini bukan maslahat lalang, tapi ini maslahat yakin dan akidah. Yang melibatkan mereka yang ada daya pengaruh dan mempengaruhi. Petik dialog filem allahyarham P. Ramlee. "arggghh korang semua pengampu... Pengampu orang kaya.

“Aku nak kongsi sikit. Aku pernah buat kerja dalam bentuk filem untuk pembangkang (ketika itu, kini kerajaan). Pernah juga buat kerja dalam bentuk short film, corporate videos, theatre, dinner show untuk kerajaan (ketika itu - kini pembangkang). Tak ada masalah,” kongsi Tai menerusi kapsyen yang ditulis.

Bagaimanapun menurut pelakon ini, mereka yang digelar lalang ini lebih tepat dilabelkan kepada selebriti yang lantang berkempen sebelum pilihan raya dan sebaliknya selepas itu.

“Alhamdulillah. Yang terpalit label 'lalang' pada sahabat-sahabat so- called artist ni adalah kerana korang sibuk berkempen pada waktu sebelum pilihanraya dalam skala begitu lantang sekali, tidak terkecuali dengan bahasa dan method yang kurang akhlaknya.

“Duduk diam diam buat tanggungjawab sebagai rakyat, pergi undi sudah... Undi adalah rahsia... Tak boleh ke?

“Tup tup bila kerajaan bertukar, 'ludah' yang ditiup ke langit tadi melepek kena kat muka sendiri. Dulu kempen atas dasar periuk nasi kata kau. Sekarang ni u-turn juga atas dasar periuk nasi kata kau. Nak ingatkan diri sendiri dan kawan-kawan, semoga tak tergolong dalam golongan lalang.

“Bukan kerajaan kerajaan yang bagi nasi, periuk nasi, makan, rezeki, bukan! Itu semua makhluk. Makhluk apa pun tak boleh bagi manfaat mahupun mudarat,” tegasnya.

Taiyuddin atau lebih mesra disapa sebagai Tai yang kini sedang mengerjakan umrah di Tanah Suci ini juga menasihatkan mereka di luar sana agar percaya dan yakin dengan rezeki yang telah ditetapkan Allah dan bukannya manusia.

“Mesti akan ada bunyi... "memanglah Allah yang bagi rezeki... Tapi kita kenala jaga periuk nasi kita dengan tidak menentang kerajaan. Memanglah Allah bagi rezeki, tapi kita kenalah kerja, memanglah Allah bagi rezeki, tapi kita kenalah....

"Tapi? Kita kenalah? Innalillah.... Tak ada tapinya.. ALLAH tak berhajat pada usaha dan kerja kita untuk bagi kita rezeki. Bahkan kerja, usaha, kudrat kita semua ni sangat dan sentiasa berhajat pada ALLAH SWT. Allah boleh bagi sesuatu dengan asbab, tanpa asbab, malah menyalahi asbab.

“Sebab korang loud dengan yakin 'makhluk yang bagi makan', maka aku loud mengingatkan, doa karo... In shaa Allah,” luah Tai.