KELIBAT bintang ini di dalam industri seni biarpun masih baru, namun rasanya tidak perlu diperkenalkan lagi.

Selepas bergelar Naib Juara Akademi Fantasia 2015 (AF2015), nama Syamel terus melonjak menerusi lagu hits Hidup Dalam Mati dan seterusnya tampil dengan lagu meletup Tak Sempurna.

Kini, dia menjadi antara bekas pelajar AF yang masih aktif di dalam bidang seni dan bersih dari kontroversi liar yang memburukkan namanya.

Terbaru, Syamel bersama 23 lagi bekas peserta dan juara AF akan bersaing dalam AF Megastar bermula hujung minggu ini.

Berkongsi persediaannya, Syamel berkata, dia akan tampil dengan persembahan dan genre lagu berbeza bagi memberi 'fresh look' kepada penonton.

"Selepas AF2015, Syamel ada join program lain macam Duo Star. Jadi kalau Syamel maintainkan persembahan sama bimbang orang akan bosan pula.

"Jadi bila berpeluang bersaing di pentas berprestij ini, Syamel mahu tampilkan sesuatu yang berbeza dan pastikan persembahan Syamel bakal memberi impak yang tersendiri," katanya ketika ditemui pada Konsert The Stage 2.0 di Unisel, Ahad lalu.

Tambah Syamel, dia juga meletakkan nasibnya kepada rezeki dan juri kerana sedar saingan yang ada bukan calang-calang.

"Syamel kira antara yang masih baru dan bersaing dengan senior-senior yang sudah banyak pengalaman tentu sahaja bukan perkara mudah.

"Malah senior-senior Syamel pasti mampu mengimbau nostalgia peminat mereka ketika mereka berada di dalam program AF.

Katanya Syamel. semua keputusan terletak kepada penilaian juri tetapi dia tidak pernah malu jika kalah kerana menganggap semua pesaingnya mempunyai kehebatan.

Berkongsi perkembangan terkininya, Syamel berkata, dia sudah menyiapkan dua lagu dengan genre berbeza.

Bagaimanapun, pihaknya masih belum memutuskan lagu mana yang bakal dikeluarkan terlebih dahulu.

Selain itu, Syamel yang kini hit dengan lagu Aku Cinta duet bersama Ernie Zakri sedia untuk meneruskan kolaborasi bersama Ernie sekiranya diberikan peluang.

"Mengapa tidak? Kami ada keserasian dan kalau ada lagu dan masa yang bersesuaian, Syamel sedia untuk kembali berduet dengannya," akhirinya.

 
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEMENANGAN Syamel dan Ernie Zakri menerusi program realiti Duo Star minggu lalu, nyata memberi impak positif buat perjalanan seni keduanya. Masakan tidak, kebanyakan respons netizen terhadap gandingan selebriti saat bersaing di dalam program tersebut mendapat maklum balas positif.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.