MEMBERITAHU bakal terbang ke Indonesia dalam masa terdekat ini, penyanyi Sufian Suhaimi, 26, berkata dia bukan membawa diri tetapi hanyalah atas dasar urusan kerja.

Pun begitu,pelantun lagu Dimatamu mengakui terkesan dengan segelintir pihak yang masih mengaitkan namanya dengan bekas tunang, Elfira Loy.

"Sebenarnya saya memang dah lama bercita-cita nak pergi ke Indonesia.

"Kalau ikutkan memang itu impian semua penyanyi. Saya ada suarakan hasrat itu kepada syarikat pengurusan.

"Saya rasa perlu keluar dari Malaysia buat sementara waktu ini bukan disebabkan nak melarikan diri tetapi mahu merasai suasana yang berbeza.

"Sebab akhir-akhir ini, saya agak terkesan apabila orang masih mengaitkan saya dengan orang yang pernah ada kaitan tapi benda itu dah berlalu," jelasnya.

Terdahulu, nama Sufian dan pelakon Elfira Loy mendapat perhatian umum selepas ikatan pertunangan mereka putus.

Bagaimanapun, nama Sufian sekali lagi dikaitkan apabila berita Elfira sudah mengikat tali pertunangan dengan lelaki bernama Faris Anuar, baru-baru ini.