PENYANYI sedang meningkat naik, Sissy Imann menerima kejutan istimewa daripada kelab peminatnya, Cyntahati Sissy Imann Official yang meraikan hari jadinya ke-21 dua hari lebih awal pada 22 Oktober lalu.

Majlis yang dirancang tanpa pengetahuan Sissy ini berlangsung meriah dengan kehadiran peminat setianya, bukan sahaja dari Kuala Lumpur, tetapi juga Kedah dan Johor selain presiden kelab peminatnya yang terbang dari Sarawak semata-mata untuk acara ini.

Menariknya, pada hari sama, genap satu tahun penubuhan Cyntahati Sissy Imann Official yang menjadi tulang belakang kerjaya seni Sissy.

“Kejutan yang saya sifatkan cukup istimewa sempena hari pada hari jadi kali ini kerana ia dilakukan sendiri oleh peminat yang sentiasa ada di belakang saya selama ini.

“Walaupun tidak mengharapkan mereka melakukan semua ini, jujurnya saya rasa cukup dihargai apabila mereka bukan hanya menyokong dalam kerjaya tetapi juga mahu menggembirakan saya dengan perkara-perkara seperti ini,” kata Sissy yang tidak dapat menahan sebak.

Penyanyi yang mula dikenali menerusi lagu Mungkin Kamu ini, turut berkongsi tentang impian yang ingin dikejar bersempena ulang tahun kelahirannya yang ke-21 ini.

“Insya-ALLAH, dalam masa setahun setengah lagi saya akan menamatkan pengajian dalam bidang muzik dan berharap akan lulus cemerlang dengan pencapaian kelas pertama.

“Selepas itu saya akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada bidang seni dan berusaha untuk melebarkan bakat saya dalam bidang ini ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya pelantun lagu Hidup ini penuh yakin.

Meskipun sudah menginjak ke usia 21 tahun, Sissy mengakui masih selesa ditemani kedua ibu bapanya dalam segala aktiviti yang dilakukannya, terutamanya melibatkan soal kerjaya.

“Mungkin ada yang mengaitkan usia 21 tahun ini sebagai kunci kebebasan untuk seseorang, tetapi sebaliknya pula pada saya yang sentiasa mahukan ibu bapa ada bersama dalam apa juga yang dilakukan,” akuinya jujur.

Majlis yang berlangsung meriah di Flora Café, Ampwalk ini juga dihadiri penyanyi Ippo Hafiz dan ‘youtuber’ yang tidak asing lagi iaitu Zack Merican yang turut membuat persembahan istimewa bersama Sissy sebagai tanda penghargaan kepada peminat.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.