$entry.content.caption.value
Kesibukan karier, tidak menjadi halangan buat pemilik nama sebenar, Datuk Irwan Syah Abdullah atau DJ Dave, 64, meluangkan masa bersama golongan istimewa bagi membantu mereka memerlukan.
Menjadi kemestian setiap tahun, sambutan ulang tahunnya yang jatuh pada Hari Kekasih, 14 Februari akan disambut dengan golongan kurang bernasib baik terutama anak yatim.
Jika dua tahun lalu, beliau membawa 20 anak yatim dan ibu tunggal menaiki helikopter mengelilingi sekitar Kota Kinabalu, tahun ini, bertempat di Royale Lake Club, Taman Tasik Perdana, beliau meraikan lebih 300 anak yatim dari beberapa rumah kebajikan; Rumah Aman, Rumah Anak Kesayanganku, Wisma Harapan, Thara Bhavav Children Home, Tasputra Perkim dan Rumah Pernim.
Jelasnya, walaupun jadual hariannya padat dengan pelbagai urusan karier dan perniagaan, acara ini pasti akan diraikan bersama.
“Sejak 16 tahun lalu, hari lahir saya tidak pernah sunyi daripada suara kanak-kanak dari beberapa rumah kebajikan. Mereka menjadi tetamu istimewa untuk meraikan hari jadi saya.
“Inilah salah satu cara saya mendampingi dan menghiburkan mereka. Saya gembira melihat senyuman di wajah mereka dan secara tidak langsung mengingatkan saya pada seorang budak lelaki cacat yang memberi cadangan mengenai lagu saya.
“Ketika itu, saya menyanyikan lagu Hindustan dalam persembahan anjuran RTM. Dia datang kepada saya dan bagi cadangan kepada saya menyanyikan lagu itu dalam bahasa Melayu.
“Atas cadangannya, saya berjaya membawakan lagu Bollywood versi Melayu yang turut menjadi siulan ramai sehingga kini,” katanya yang menjadi artis pertama Malaysia yang melancarkan album Hindi pada 2005.
'Mohd Raffi Malaysia'
Mengimbau sejarah penglibatannya dalam industri nyanyian, penyanyi berbangsa Sikh, memulakan karier seni pada tahun 1971 dengan lagu-lagu Hindi. Pernah digelar ‘Mohd Rafi Malaysia’, Dave tidak kekok mendendangkan lagu-lagu berentak Hindi yang dipetik dari filem-filem popular, Suraj, Chehre Pe Giri Zulfein, Kah Do To Hataa Doon Main dan Gustaakhi Maaf.
Pada tahun 1972, beliau mula menampilkan EP pertama yang berjudul Maafkanlah yang diterjemahkan dari lagu Hindi, Gustaakhi Maaf.
“Sebelum memperkenalkan EP pertama, saya mempunyai masalah dari segi sebutan Bahasa Melayu sehinggakan saya gagal dalam uji bakat pertama bersama Life Record.
“Selepas itu, saya mula belajar mendalami Bahasa Melayu selama enam bulan dan cuba uji bakat kali kedua. Barulah saya diterima untuk merakam EP tersebut,” katanya yang berjaya tampil dengan album pertama Melayu, Ku Tak Ingin Menangis Lagi.
Memuatkan dua lagu lain seperti Harum Bunga Di Taman dan Menangis Di Malam Gelita, Dave berkata, album itu membawa tuah kepadanya apabila muncul sebagai killer album dan sejak itulah, semakin ramai mengenalinya sebagai penyanyi.
Bukan sahaja nyanyian, malah gaya dan fesyennya yang ala Bollywood itu, mencetuskan fenomena apabila menjadi ikutan muda-mudi ketika itu.
“Pada 1974, saya menghasilkan album kedua, Berdansa Denganku, yang memuatkan lagu seperti Ingin Bersua, Joget Beristeri Dua dan Sinar Cinta.
“Sejak itulah, karier seni saya mula berkembang dan sehingga kini telah berjaya menghasilkan 39 album. Sementara album ke-40 berjudul Nyawaku masih dalam pembikinan yang mendapat sentuhan komposer terkenal, Datuk M Nasir,” katanya.
Bawa kenangan ke IB
Bakal menggegarkan Istana Budaya (IB), pada 1 hingga 3 Jun, ini menerusi konsert terbarunya, Sketsa Memori- DJ Dave, beliau akan membuat kejutan istimewa kepada peminatnya nanti.
Menerusi konsert anjuran syarikatnya, Shah Dave Entertainment, beliau akan mengadakan empat era berlainan, dari 70-an hingga kini yang bertemakan 1Malaysia.
“Saya akan menyanyikan hampir 35 lagu popular saya. Menariknya, lagu-lagu tersebut dirakamkan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Hindi dan Cina.
“Saya turut menjemput Uji Rashid dan Datuk Ahmad Nawab sebagai rakan duet untuk era 70-an. Juga Dayang Nur Faizah dan Marsha Londoh bagi era 90-an dan 2000.
“Saya akan memakai baju dan kasut yang pernah saya pakai dulu pada malam itu. Alhamdulillah, semuanya masih muat. Selain itu, saya akan membawa kereta saya, Alfa Romeo Sport, yang pernah menjadi kulit album saya.
Walaupun usianya sudah 40 tahun, tapi ia masih boleh dipandu,” katanya yang bakal diiringi 42 pemuzik orkestra pada malam nostalgia itu. Turut bersedih dengan pemergian bintang terkenal dunia, Whitney Houston, beliau turut membuat persembahan istimewa sempena tribute khas penyanyi hitam manis ini.
Memilih lagu I Will Always Love You, Dave berkata, dia akan berduet bersama, Marsha Londoh, dalam versi Hindi dan Inggeris sebagai kelainan yang bakal disajikan kepada penonton.





