Simple Plan
$entry.content.caption.value

Hebat, bertenaga! Dua patah perkataan itu sudah cukup menggambarkan suasana sepanjang berlangsungnya Konsert Get Your Heart On! Tour Live In Malaysia, Sabtu lalu.

Ternyata, kehadiran Simple Plan yang dianggotai lima anak muda, Pierre Bouvier selaku vokalis utama, David Desrosiers (bass), Chuck Comeau (dram), Sebastien Lefebvre (gitar rhythm) dan Jeff Stinco (gitar utama) menyaksikan 2,000 peminat membanjiri KL Live, Kuala Lumpur seawal jam 2 petang lagi.

Malah kebingitan sorakan dan laungan dari peminat yang mahukan Simple Plan beraksi nyata menggamatkan suasana biarpun kumpulan punk pop dari Kanada itu masih belum muncul di atas pentas.

Biarpun sudah hampir empat tahun tidak mengeluarkan album studio baru, namun kumpulan yang popular dengan lagu Perfect ini tetap mempunyai peminat setianya sendiri dan masih berbisa.

Berkunjung ke Malaysia sebagai usaha untuk meneruskan siri jelajah di Asia selain mempromosikan album keempat mereka, ternyata kedatangan kumpulan ini menerima sambutan yang begitu menggamatkan.

Seperti yang dijanjikan, konsert itu bermula pada jam 8.30 malam dengan tirai pembukaan konsert dijayakan oleh kumpulan tempatan, The Revellers yang menjuarai pertandingan Open for Simple Plan Band Competition Final anjuran TuneTalk.

Simple Plan mula muncul di pentas pada jam 9.20 malam dengan mendendangkan lagu Shut Up! dari album keduanya.

Tenaga yang dilemparkan kumpulan itu ternyata luar biasa dengan menyanyikan 20 buah lagu daripada keempat-empat albumnya tanpa henti termasuk Jet Lag, Welcome To My Life, My Alien, Addicted, Thank You, You Suck At Love, Summer Paradise, Loser Of The Year dan Your Love Is A Lie.

Berselang-seli dengan celoteh menghiburkan dari mereka, peminat nyata menikmati malam konsert itu sebagai hadiah hebat daripada Simple Plan untuk peminatnya yang berada di Malaysia.

Bouvier juga bijak mengawal pentas dengan beberapa kali mencuba untuk berbahasa Melayu dengan peminatnya.

Tidak sah jika meninggalkan pentas tanpa mendendangkan lagu berhantu mereka, Simple Plan memilih Perfect sebagai lagu penutup tirai malam konsert tersebut yang berakhir tepat jam 11 malam.


Teruja!

Mengaku teruja untuk menjayakan konsert di Malaysia, vokalis utama kumpulan itu, Bouvier mengotakan janjinya untuk mengadakan konsert yang hebat dan bertenaga untuk peminat di sini.

Menurutnya, peluang kembali buat kali kedua di Malaysia sememangnya menggembirakan mereka biarpun perlu berdepan dengan cuaca yang agak panas berbanding di negara mereka di Montreal, Kanada.

“Kami begitu gembira dapat kembali lagi di Malaysia untuk mengadakan konsert kerana sebelum ini hanya berpeluang untuk mempromosikan album sahaja.

“Sedar akan peminat kami yang begitu ramai di sini menyebabkan kami bersetuju untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan siri jelajah Asia Simple Plan Get Your Heart On!,” katanya pada sidang media.

Mengulas mengenai album baru mereka, Get Your Heart On! yang dikeluarkan pada pertengahan tahun lalu, Bouvier memberitahu, pemilihan lagu untuk album tersebut dibuat dengan teliti bagi memenuhi selera peminat selepas kejayaan ketiga-tiga album mereka sebelumnya.

“Kami mengambil masa yang lama iaitu hampir tiga tahun untuk memilih lagu-lagu yang terbaik bagi dimuatkan dalam album kali ini.

“Bagi kami, pemilihan lagu bukan hanya penting untuk memenuhi selera kami berlima sahaja malah yang paling utama adalah selera peminat-peminat kami,” katanya sambil dipersetujui oleh empat rakannya yang lain.

Mengakui sedikit tertekan setiap kali menghasilkan album baru, Comeau lantas menjawab, sokongan peminat begitu berharga buat mereka bagi menghasilkan karya yang lebih baik daripada sebelumnya.

“Biarpun ada sedikit rasa tertekan kerana peminat pasti akan membandingkan album yang baru dengan album terdahulu, namun kami anggap perkara itu sebagai semangat dan sokongan untuk kami menghasilkan yang terbaik,” katanya.

Simple Plan telah mengeluarkan empat album studio iaitu No Pads, No Helmets... Just Balls (2002), Still Not Getting Any... (2004), Simple Plan (2008) dan Get Your Heart On! (2011).

Konsert Simple Plan dibawakan oleh TuneTalk dengan kerjasama JS Concert Productions dan Fat Boys. Kedatangan kumpulan ini juga adalah sebahagian daripada kempen siri konsert No Big Deal Lah anjuran TuneTalk.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.