Shira ucap selamat tinggal
$entry.content.caption.value

Setelah setahun menceriakan suasana pagi pendengar menerusi segmen Breakfast@Suria, Sharifah Shahirah (Shira), 37, akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Suria FM selepas membuat keputusan tidak menyambung kontraknya yang berakhir 24 Januari ini.

Namun tempat kosong yang tinggalkan Shira, digantikan dengan kehadiran Nabil Raja Lawak bersama Kenchana Dewi. Khabar gembira itu diumumkan sendiri oleh Timbalan Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Yusry Abu Samah dalam satu sidang media di pejabat Suria FM, baru-baru ini.

Menurut Yusry, Nabil dan Kenchana akan bergabung bersama Halim Othman bagi mengendalikan program Pagi Di Suria mulai hari ini dari jam 6 hingga 9 pagi.

“Sebelum membuat pemilihan, kami telah melantik sebuah badan bebas untuk mengkaji cita rasa para pendengar radio. Berdasarkan kajian itu, kami mendapati pendengar kini mahukan sesuatu yang menceriakan.

“Oleh itu kami membuat keputusan memilih Nabil dan Kencana kerana mereka merupakan pelawak iaitu trend yang pendengar mahukan,” katanya.

Menyentuh mengenai Shira yang tidak mahu menyambung kontraknya bersama Suria FM, Yusry bagaimanapun mendedahkan pihaknya sentiasa menerima Shira sekiranya pelakon itu mahu kembali bersama Suria FM.

“Oleh kerana komitmen yang terlalu banyak, Shira tidak mahu memanjangkan kontraknya bersama Suria FM. Bagaimanapun kami memahami situasinya dan sekiranya dia mahu kembali ke Suria FM, kami di sini amat mengalu-alukannya,” katanya.


Pembaharuan 2012

Yusry berkata, perubahan yang dilakukan pada tahun ini merupakan satu strategi meningkatkan mutu persembahan stesen radio itu.

Menurutnya, perkembangan Suria FM sejak dua tahun yang lalu berada dalam tahap yang membanggakan dan peningkatan ini perlu diteruskan bagi bersaing dengan stesen radio lain.

“Peningkatan jumlah pendengar amat memuaskan dan peningkatan seperti ini perlu diteruskan untuk kekal berada di tahap yang lebih tinggi.

“Perubahan yang berlaku adalah satu strategi kami, supaya stesen radio ini berada pada tahap kukuh dan bersedia berdepan dengan pesaing lain,” katanya.

Yusry berkata, pilihan lagu untuk dimainkan di corong radio juga diambil kira supaya ia bersesuaian dengan tag line Suria FM iaitu Muzik Terbaik 90-an dan Terbaru.


“Semua perubahan ini dilakukan untuk memperbaharui imej dan penjenamaan Suria FM selain menjadikan stesen radio versatil,” katanya.


Nabil, Kenchana teruja!

Sementara itu, juara Raja Lawak musim kedua, Ahmad Nabil Ahmad atau Nabil tidak dapat menyembunyikan rasa terujanya apabila ditawarkan sebagai salah seorang penyampai radio itu.

Menurutnya, sebelum menerima tawaran itu pada Disember 2011, dia pernah berkhidmat untuk stesen radio Sinar FM dan Hot FM pada tahun lalu sebagai deejay jemputan.

“Bermula dari situ saya mula meminati bidang penyampai radio ini dan tawaran ini sememangnya bermakna buat saya. Ada juga yang beri tawaran kepada saya untuk menjadi penyampai sepenuh masa, tetapi saya terpaksa tolak kerana jadual saya terlalu padat.

“Saya mula tertarik dengan Suria FM sejak Shira berkhidmat sebagai penyampai di sini. Kami rapat dan saya selalu mengikutnya ketika dia sedang bertugas," katanya.

Nabil berkata, dia teruja dan tidak sabar untuk menceriakan pendengar menerusi segmen yang bakal dikendalikannya bersama Kencana dan Halim.

“Tidak menjadi masalah kepada saya untuk menjadi penyampai radio memandangkan sebelum ini saya pernah melakukannya.

“Mengenai karier seni pula, saya masih akan melakukan penggambaran lain seperti biasa tetapi saya hanya akan lakukannya setelah tamat waktu bekerja,” katanya.

Bagi Kenchana Dewi pula, peluang menjadi penyampai tidak mungkin disia-siakan kerana dia mahu mencuba semua peluang yang diberikan kepadanya.

“Saya tidak mengambil masa yang lama untuk membuat keputusan menerima tawaran ini kerana saya mahu mencabar diri saya untuk mencuba sesuatu yang baru.

“Bagi saya tawaran ini sesuai dengan jadual saya dan ianya bakal memberi satu pengalaman berharga buat saya,” katanya.

Menyentuh perkembangan terbarunya, Kenchana berkata, dia kini sedang menjalani penggambaran sebuah rancangan wanita berbahasa Tamil, selain akan membintangi sebuah drama terbitan RTM.

Sama seperti Nabil, Kenchana juga tidak keberatan untuk terus aktif dalam bidang lakonan, namun hanya akan menjalani penggambaran selepas selesai menjalankan tugasnya.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.