SETELAH lama hilang dan menyepikan diri seketika dari dunia hiburan, penyanyi Shahir Zawawi menarik perhatian ramai apabila tampil membuat persembahan di Hospital Selayang sempena sambutan hari raya baru-baru ini.

Shahir kelihatan tampil bersama pelakon Erra Fazira yang juga teman rapatnya menghiburkan pesakit-pesakit di wad psikiatri  dan Pusat Kesihatan Mental (Mentari) Hospital Selayang

Menurut laporan portal Mstar, kedua-dua selebriti ini yang tampil pada acara tersebut bersama-sama Persatuan Sokongan dan kesedaran Penyakit Mental (Miasa) meluangkan masa untuk beramah mesra bersama pesakit selain menghiburkan mereka.

Kehadiran Shahir dan Erra dilihat begitu menggembirakan pesakit yang terlibat selain terhibur dengan persembahan lagu-lagu raya dari mereka.

Pihak hospital dalam satu kenyataan di media sosial juga merakamkan ucapan terima kasih mereka kepada pihak Miasa yang prihatin dan sudi meluangkan masa bersama pesakit-pesakit terlibat.

“Kami amat bertuah pada tahun ini menerima kunjungan daripada pihak Miasa Malaysia bagi meraikan hari raya bersama pesakit-pesakit pada 27hb Jun yang lepas.

"Pihak Mentari mewakili seluruh Jabatan Psikiatri Hospital Selayang mengucapkan jutaan terima kasih kepada Miasa kerana sudi meluangkan masa bersama-sama pesakit di wad psikiatri.

“Para pesakit kami amat gembira menerima kunjungan artis terkenal tanah air iaitu Erra Fazira dan Shahir. Terukir di wajah mereka senyuman yang ikhlas apabila dapat bersama-sama mendendangkan lagu raya serta menerima hadiah daripada Miasa.

“Semoga segala usaha murni pihak MIASA dalam memberi kesedaran tentang masalah mental dipermudahkan serta diberkati," tulisnya.

Ternyata hubungan pasangan ini masih lagi baik, malah Erra juga tidak menafikan penyanyi yang juga finalis AF Megastar itu  ada berkunjung ke rumahnya untuk beraya pada Syawal lalu.