KEHADIRANNYA dalam dunia seni masih baru lagi. Belum pun sampai setahun sejak single pertamanya dilancarkan pada Februari lalu, namun sambutan terhadap Shaa dengan lagu Pertama Kali terus mendapat perhatian sehingga kini.

Shaa atau nama sebenarnya Juzratul Nisha Johari, 22, akui sangat terharu atas penerimaan peminat terhadap single pertama yang telah memperkenalkan namanya dalam dunia seni hiburan tempatan.

"Alhamdulillah, sehingga ke hari ini, ke mana-mana show saya pergi, peminat akan minta lagu ini untuk dinyanyikan biar pun dah banyak kali. Ibaratnya, lagu ini lagu wajib bagi setiap kali persembahan.

"Saya akui kadang-kadang boring juga kalau nyanyikan lagu yang sama setiap kali show tapi bila fikir balik, ini lagu cari makan dan saya bersyukur sebab lagu ini yang sebenarnya membantu saya," katanya sambil ketawa.  

Di YouTube, video lirik muzik rasmi Pertama Kali sudah hampir mencapai lebih 10 juta tontonan dan Shaa berharap lagu ini akan terus diminati meskipun single keduanya akan diperkenalkan tidak lama lagi.

Single kedua yang diberi tajuk Biarku Pergi, ciptaan Mikeya (Nova Music) ini, masih lagi mengekalkan konsep lagu-lagu 'leman'.

"Pihak pengurusan saya, Nova Music yang mencadangkan agar untuk single kedua ini, biar ikut konsep lagu lama dulu.

"Lagu Pertama Kali ciptaan saya sendiri, sementara lagu Biarku Pergi ini ciptaan orang lain, jadi lambat sikit nak masuk dalam jiwa.Kena ambil masa untuk serasikan dalam diri. Tapi Alhamdulillah, lama-kelamaan saya dah boleh nyanyikan lagu itu dengan cara saya sendiri," katanya.

Shaa akui dia masih lagi belajar, justeru memerlukan banyak masa untuk jadikan lagu orang sebagai lagu sendiri.  

"Dulu saya ingat, senang sahaja jadi penyanyi, dapat lagu terus nyanyilah. Tapi bila dapat lagu Biarku Pergi, baru saya tahu rupanya nak menyanyi lagu baru ciptaan orang lain bukanlah perkara yang mudah.

"Saya mohon masa sebulan untuk menjiwai lagu tersebut. Apa yang saya lakukan dalam tempoh itu adalah duduk dalam bilik hafal lirik lagu dan melodi. Saya tak mahu ada orang lain. Saya lebih suka bersendirian.

"Pun begitu yang kelakarnya, bila rakam dalam studio, lain yang berlatih lain pula yang keluar. Nasib baik jadi lebih sedap dan semua orang dapat menerimanya," cerita Shaa sambil ketawa menceritakan pengalamannya di studio rakaman.

Jelasnya, dia gembira dengan pengalaman tersebut iaitu pengalaman yang manis bagi dirinya sebagai anak seni yang baru berjinak dalam dunia hiburan.

"Memanglah saya pernah menyanyi tapi nyanyi lagu-lagu orang sahaja. Ini lagu baru, lagu ciptaan orang lain, jadi kenalah saya belajar dan berusaha untuk membawakan lagu tersebut dengan sebaiknya.

"Alhamdulillah setakat ini, semua orang keliling saya suka dengan lagu tersebut dan saya juga semakin menyukainya," jelas Shaa lagi.

Katanya, dengan pengalaman ini dia berharap agar lagu keduanya itu berjaya mencapai standard seperti lagu pertamanya atau lebih baik lagi sambutannya.

Demi memajukan dirinya dalam bidang seni, Shaa kini merancang untuk memasuki kelas vokal.   

Ulang alik KL - Kedah

Shaa kini masih lagi menetap di Kuala Kedah, Kedah meskipun kerjaya seninya semakin berkembang. Difahamkan juga, Shaa banyak menerima jemputan di sana-sini.

"Buat masa ni, saya belum lagi nak tinggal di Kuala Lumpur (KL) walaupun ramai yang kata, duduk di KL lebih memudahkan kerjaya seni. Tapi bagi saya, saya selesa duduk di Kuala Kedah buat masa ini sebab saya duduk bersama mak.

"Bila ekonomi dah stabil barulah difikirkan semua itu. Lagipun saya selesa berulang alik ke KL. Kalau saya ada show, kakak boleh tolong tengokkan mak. Kalau duduk di KL berdua sahaja, nanti siapa pula nak jaga mak," katanya lagi.

Shaa juga akui dirinya beruntung kerana mendapat sokongan penuh keluarga.

"Keluarga adalah tulang belakang saya. Mereka banyak bantu dan beri nasihat kepada saya untuk meneruskan kerjaya seni.  Mereka juga amat memahami," jelas Shaa mengakhiri perbualan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :