PELAKON Sofi Jikan mendedahkan kerjaya lakonannya kini tidak lagi seperti dulu, apabila  dia kini sudah tidak lagi mendapat tawaran berlakon.

Situasi itu dikatakan berlaku selepas kontroversi penahanannya yang dikaitkan dengan isu penyalahgunaan dadah selain didakwa antara individu yang menganiaya seorang pelakon pada Februari lalu.

Sofi atau nama sebenarnya Mohamad Shoffi Jikan dalam kenyataan kepada sebuah akhbar memberitahu, disebabkan kejadian tersebut dia banyak kehilangan tawaran kerja.

Tidak sekadar itu, pelakon terkenal dengan  tagline ‘kasi sengat’ ini juga mengakui telah kehilangan rakan-rakan yang kini dilihat telah meminggirkannya.

"Jujur saya bercerita, selepas apa yang berlaku saya hilang segala-galanya termasuklah tawaran berlakon dan kawan-kawan.

"Selepas kes berkenaan saya tidak mendapat tawaran berlakon. Kalau ada pun, tawaran tersebut dibatalkan tanpa penjelasan.

"Ada juga beberapa projek yang telah dipersetujui sebelum ini meminta saya menulis surat atas alasan menarik diri," kata Sofi.

Ditanya tentang hubungannya dengan pelakon yang mengaitkan dirinya dengan kontroversi terbabit, kata Sofi, buat ketika ini dia belum bersedia untuk bertemu dengan pelakon itu meskipun mengakui pernah dihubungi selepas pembebasannya beberapa bulan lalu.