PASANGAN selebriti sensasi, Fattah Amin dan Nur Fazura akhirnya mengaku telah selamat mengikat tali pertunangan pada 13 November.

Mendedahkan perkara itu dalam sidang media khas selepas kedua pasangan itu menunaikan umrah bersama ahli keluarga, Fattah berkata, keluarganya telah menghantar rombongan merisik seterusnya mengikat tali pertunangan pada hari sama.

Katanya pada tarikh berkenaan kedua-dua keluarga bersetuju untuk melangsungkan majlis merisik sekaligus majlis pertunangan.

"Alasan kami sepakat untuk berkongsi tarikh keramat itu selepas kami balik tunai umrah dan kami rasa nak fokus ibadah umrah," katanya di sini hari ini.

Jawapan itu secara langsung menafikan majlis pernikahan yang diadakan pada tarikh 14 November, iaitu pada tarikh keberangkatan mereka ke Tanah Suci.

"Ia hanya majlis doa selamat. Tidak lebih dari itu," kata Fattah.

Dalam pada itu katanya, beliau dan Fazura masih belum bernikah sepertimana yang diuar-uarkan sebelum ini.

"Kami menafikan cerita kami dah nikah sebelum ke Tanah Suci dan juga bernikah di sana.

"Kami akan menjalani proses pernikahan seperti orang lain, daftar dan juga kursus perkahwinan," ujar Fattah Amin.

Dalam pada itu, Fazura melahirkan rasa sedih apabila ada pihak yang menyebarkan gambar-gambar mereka dan menganggap perkara itu sebagai pelanggaran privasi.

"Majlis kami tertutup dan ia adalah permintaan keluarga.

"Apabila ada pihak yang menyebar dan membuat pelbagai spekulasi, ia sangat menyedihkan," kata Fazura.

Pasangan yang membuat sidang media sejurus tiba dari menunaikan umrah ini memohon semua pihak mendoakan yang terbaik buat mereka

Artikel berkaitan yang patut anda baca :