Afdlin
$entry.content.caption.value

Hampir dua minggu pentas Maharaja Lawak Mega (MLM) melabuhkan tirainya, namun sehingga kini ia masih menjadi perbualan ramai. Rata-rata, berpuas hati dengan persembahan peserta pada malam final itu, terutamanya Boboi dan Osbon yang memberikan saingan sengit.

 
Umum sedia maklum, takhta MLM akhirnya menjadi milik Osbon yang diterajui orang lama, Os dan Abon. Sementara Boboi terpaksa akur dengan tempat kedua. Tetap optimis dengan kemenangan 
 
Osbon, Afdlin Shauki dan Harun Salim Bachik, bagaimanapun tidak pernah mempertikaikan kemenangan tersebut.
 
Namun, ada pula suara-suara sumbang yang membuatkan mereka terkilan. Menurut Afdlin, kedudukannya sebagai pemilik produksi Vision Works Malaysia Sdn. Bhd, menjadi pertikaian kemenangannya di MLM. 
 
 “Ada segelintir pihak menganggap kami tidak patut menang sebab kami sudah kaya serta memegang jawatan besar berbanding Os dan Abon yang hanya bawa teksi dan pelawak pentas.
 
“Itu semua tidak benar. Saya bukanlah berasal dari keluarga yang kaya-raya. Saya bermula dari bawah dan sejak lima tahun kebelakangan ini sahaja, syarikat saya menerima tawaran besar. Tapi, tidaklah terlalu senang dan kaya. 
 
“Begitu juga Abang Harun. Walaupun dia Presiden Seniman, tetapi dia tidak mempunyai kereta. Hasil kemenangan di MLM, dia bercadang untuk membeli kereta. Jangan fikir kami banyak harta dan tidak layak menang untuk sebarang pertandingan,” katanya yang mendapatkan nasihat daripada pakar motivasi, Dr Azizan Osman sepanjang penglibatan dalam MLM.
 
Mempamerkan persembahan konsisten setiap minggu, Afdlin dan Harun akhirnya berjaya membawa pulang RM250,000. Menurut Afdlin, wang itu akan digunakan sebaik mungkin untuk meneruskan penjenamaan Boboi. 

 
Filem, animasi Boboi 
 
Sejak awal, Boboi mempunyai pengikut tersendiri, terutamanya kanak-kanak. Tidak terhenti di pentas MLM, Afdlin berkata, mereka akan meneruskan jenama Boboi menerusi filem dan siri animasi di bawah produksinya sendiri. 
 
Jelasnya, sebagai permulaan dua filem, Boboi BFF (Best Friend Forever) dan Boboi Tanjat Maimon, akan menemui penonton. 
 
“Boboi BFF dan Boboi Tanjat Maimon dijangka akan menjalani penggambaran serentak pada penghujung Januari ini atau Mac.
 
“Dalam filem itu, kami akan menjemput kesemua peserta, pengacara dan barisan juri untuk menjayakan filem ini. Ini adalah salah satu cara kami menghargai peserta, pengacara dan juri yang terlibat di sepanjang program itu.
 
“Selain dua filem itu, kami juga turut berbincang dengan pihak Astro untuk memperkenalkan siri animasi Boboi, Ala Tomey-Tomey Boboi. Bagaimanapun, kami telah mendapatkan reaksi positif dari Astro, tetapi keputusan masih belum diperoleh,” katanya.
 
Afdlin menjelaskan, Boboi BFF mengisahkan asal usul Boboi, bagaimana mereka boleh berkawan, dan masalah keluarga mereka yang berpoligami. Bagaimanapun, persahabatan Boboi Yut dan Boboi Wa yang tidak mudah goyah walaupun dilanda pelbagai masalah. 
 
Sementara, Boboi Tanjat Maimon pula mengisahkan mama Boboi, Datin Maimon, yang sentiasa sibuk dengan tugasnya sebagai isteri, ibu, Ahli Jawatankuasa (AJK) surau dan pemburu hantu. Masalah bermula apabila ada gadis yang cuba menggunakan ilmu hitam untuk menawan suaminya, Haris Shamsudin.
 
Dalam pada itu, Afdlin memberitahu, dia juga merancang menghasilkan komik Boboi selain mengeluarkan barangan dalam bentuk jenama Boboi. 

 
Boboi atau Afrun?
 
Mengimbau mengenai idea penjenamaan Boboi, Afdlin dan Harun pernah terlintas untuk menamakan kumpulan mereka, Afrun untuk singkatan Afdlin dan Harun.
 
Setelah difikirkan, nama itu tidak sesuai untuk mereka sehinggalah Dr Azizan memberi cadangan untuk nama Boboi.
 
“Cadangan tersebut sangat menarik dan menepati cita rasa kanak-kanak dengan perkembangan isu-isu semasa. Untuk memvariasikan watak Boboi agar dapat ditonton oleh semua lapisan umur, kami bukan hanya menceritakan Boboi Yut dan Boboi Wa, malah watak mama, papa dan Gegirl turut dihasilkan.
 
“Bukan kami tidak percaya kepada kekuatan watak Boboi, tetapi jika dikembangkan dengan pelbagai watak yang berkesan, pasti Boboi mencipta fenomena tersendiri.
 
“Kumpulan sasar kami bukan sahaja tertumpu kepada kanak-kanak, tetapi semua lapisan umur. Di MLM, watak yang diperkenalkan tidak terlalu berkembang kerana menghadapi masalah kekangan masa. Jadi, kami bersepakat untuk mengembangkan watak kepada peminat setia Boboi,” katanya yang bakal muncul dalam konsert lawak, Lawak Ke Der, di Istana Budaya, bersama barisan pelawak lain.

 
Platform untuk artis lama
 
Tidak menafikan populariti artis lama setanding artis baru apabila MLM diperkenalkan, Afdlin menganggap, MLM adalah platform yang terbaik dari Astro untuk pelawak lama kembali beraksi,
 
Menurut Afdlin, sekiranya MLM tidak diperkenalkan, jenama Boboi mungkin tidak akan ada buat masa sekarang dan sukar untuk mereka menghasilkan jenama itu tanpa bantuan Astro.
 
“Saya menyertai MLM, bukan sekadar untuk bertanding, malah untuk memperkenalkan jenama baru kepada peminat. Tanpa pentas MLM, kami tidak mampu untuk mempunyai peminat yang ramai dalam tempoh 10 minggu sahaja.
 
“Kalau MLM tak ada, mungkin Boboi tak ada kerana sebelum ini, kami tidak pernah terfikir untuk memperkenalkan Boboi. Boboi dihasilkan khas untuk MLM.
 
“Begitu juga dengan populariti untuk pelawak lama, mereka menerima ‘durian runtuh’ setelah penglibatan dalam MLM dan membuktikan bahawa pelawak lama masih boleh beraksi,” katanya yang berharap agar Astro lebih optimis untuk mengadakan program sebegini agar tidak meminggirkan pelakon serta pelawak lama.
 
Mengakui dirinya semakin sibuk dan jadualnya lebih padat selepas MLM, Afdlin memandang perkara tersebut sebagai cabaran baginya untuk menguruskan masa dengan lebih teratur agar tidak tercicir.
 
“Sebelum MLM, saya memang dah sibuk dengan kerja-kerja produksi. Tapi, setelah berakhirnya MLM, jadual semakin padat. Jadi, saya kena uruskan kerja saya dengan seimbang. 
 
“Mujurlah saya dikurniakan isteri yang begitu memahami tugas saya. Jadi, masalah dalaman yang melibatkan keluarga tidak pernah timbul, malah isteri saya turut membantu apa yang termampu,” kata bapa kepada tiga anak ini.
 
Tegur Chef Wan atas dasar kawan
 
Bertanya mengenai tegurannya terhadap juri tetap MLM yang juga chef selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan, Afdlin menyifatkan teguran itu bukanlah bertujuan untuk memalukan Chef Wan, tetapi teguran untuk sahabat.
"Kami dah lama berkawan baik. Sebelum ini, kami sering berkongsi pendapat mengenai bidang masing-masing.
 
“Saya menegur dengan cara baik kerana tidak salah bagi seorang kawan untuk menegur tingkah laku kawannya. Jika dilihat dari segi komen Chef Wan pada peserta MLM, memang tidak wajar kerana peserta MLM bukanlah bakat-bakat baru. Mereka juga bertanding bukan melalui uji bakat, tetapi dijemput oleh Astro.
 
“Jadi, tidak wajar jika juri memberi komen yang mengaibkan mereka kerana mereka sudah lama dalam industri, tidak terlampau untuk diistilahkan otai.
 
“Jadi, jangan terlalu berlebihan. Walaupun saya tidak pernah kena, tapi kawan-kawan saya kena. Saya patut tegur dia. Tapi, apa yang saya lihat, Chef Wan profesional,” katanya yang turut menasihati juri agar lebih berhati-hati untuk mengkritik.

 
Dikelilingi tiga puteri
 
Mempunyai tiga puteri, Miasara Shauki, 12, Anais Shauki, 9, dan Ileana Matin Shauki, 1, hasil perkahwinan bersama Cristina Maria Monggoh, pada 1997, Afdlin tetap bersyukur dengan kehidupannya dan tidak pernah berharap untuk mendapatkan lebih dari itu.
 
“Saya tidak pernah mengharapkan untuk mendapatkan anak lelaki. Apa yang ada, sudah cukup untuk saya. Mereka berikan kehidupan yang sangat sempurna kepada saya.
 
“Apa yang penting, mereka adalah amanat Tuhan untuk saya. Tapi, jika ada rezeki untuk tambah bilangan anak, saya tetap menerima, tapi tidak pernah terbatas untuk menimang anak lelaki sahaja.
 
“Anak perempuan pun tak apa, nanti mereka dah kahwin, saya dapat anak menantu lelaki juga. Jadi, saya tak kisah dengan semua itu,” katanya yang kini sibuk menguruskan syarikat penerbitan dan juga studio rakaman yang ditubuhkan sejak 12 tahun lalu.
 
Dalam perkembangan lain, Afdlin bakal muncul dengan tiga filem, Baik Punya Budak, Pontianak vs Orang Minyak dan Papadom 2.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.