KEAKRABAN bekas penyanyi kumpulan Elite, Abby Abadi dan pelakon Norman Hakim terus dipuji netizen meskipun bekas pasangan suami isteri itu telah mempunyai keluarga baharu.

Terbaru, bersempena dengan ulangtahun anak mereka Maria Danisha Hakim yang ke 10 dan juga anak angkatnya, Muhammad Daiyan berusia tiga bulan, majlis diraikan secara bersama di sebuah restoran.

Melalui perkongsian Abby di Instagramnya, dia juga turut menitikkan kata-kata untuk anaknya itu.    

"Sanah Helwah Baby @ maria.danisha.hakim, selamanya Baby.  17 September 2008 hingga 17 September 2018, syukur baby besar kami, makin besar makin kuat, kuat makan, kuat minum dan kuat sentap hehe.

"Walaupun mengada lebih, suka nak tunjuk perangai, senang menangis kalau kena kacau dengan Abang Danish dan Kak Dania. Tapi tidak berdendam pun, sekejap je (sahaja) sejuk dah. Pastu leh (boleh) kawan balik hehe," tulisnya.

Malah dia juga memuji anaknya itu baik hati, rajin menolong terutama sejak dirinya mempunyai anak kecil. 

Dia juga mohon agar anaknya itu dapat menjadi seorang penghafaz sebagaimana abang dan kakaknya dan menjadi orang yang beriman dan beramal soleh.

Selain mengucapkan selamat hari ulangtahun buat Maria Danisha, rata-rata memuji dan mengakui jika mereka berada di tempat pasangan ini, tidak mungkin mampu menjadi setenang dan bahagia seperti mereka.

Malah ada juga netizen meminta tips untuk dikongsi apabila melihat keluarga besar  ini sentiasa bersama termasuk setiap kali menyambut hari raya dan dilabelkan sebagai keluarga contoh.

Banyak aktiviti dilakukan bersama dengan disertai keluarga masing-masing apatah lagi mereka mempunyai tiga anak semasa perkahwinan terdahulu, iaitu Mohamed Danish Hakim, 15, Marissa Dania Hakim, 13, dan Maria Danisha Hakim, 10.

Selepas bercerai dengan Abby, Norman pula berkahwin dengan pelakon Memey Suhaiza dan mempunyai tiga anak iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 5, Muhammad Dikhriz Hakim, 3 dan Mikayla Delisha Hakim yang baru sahaja dilahirkan lebih dua bulan lalu.

Manakala Abby juga telah mempunyai pengganti, Muhammad Faizal Zakaria dan kini mempunyai sepasang anak angkat bernama Muhammad Daiyan Fayyadh dan Maisara Dayana Fathia sejak lebih dua bulan lalu.