SELEPAS mendirikan rumah tangga dan kini bergelar bapa kepada seorang cahaya mata comel, pelakon Saharul Ridzwan dilihat memperlahankan kerjaya lakonannya.

Apatah lagi hero drama Chor & Chah ini juga jarang muncul di kaca TV sebagaimana sebelum ini.

Saharul mengakui ada peminat yang salah faham dan membuat pelbagai andaian sedangkan banyak drama lakonannya menunggu tarikh siaran.

Pelakon ini juga akan ke lokasi penggambaran drama 26 episod, Dia Pengantinku dan Jogho Yang Tewas sebanyak 13 episod tidak lama lagi.

Bagaimanapun kata Saharul, jadual kerjanya kini tidak lagi sepadat dulu atas pilihannya sendiri kerana mahu seimbangkan komitmennya kepada keluarga.

Saharul Ridzwan bersama isteri dan anaknya - Foto Instagram

Jelasnya, kehidupannya kini berbeza dan dia akan mengambil kira faktor masa dan sebagainya, tidak seperti ketika masih bujang.

“Namun bila sudah berkeluarga, semestinya saya perlu bahagikan tanggungjawab dan meluangkan masa dengan anak dan isteri.

“Jujurnya selepas jadi bapa, saya cuba menguruskan masa dengan baik antara kerja dan keluarga kerana saya tidak mahu terlepas apa-apa momen dan perkembangan tentang anak saya yang kini sedang membesar dengan pantasnya,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tidak mahu terlepas melihat anak membesar

Atas sebab yang sama jugalah bapa kepada Muhamad Luth Ali yang berusia tujuh bulan ini membuat keputusan menukar pengurusan baru yang lebih sesuai dengan statusnya.

Menurut Saharul, dia tidak bermasalah dengan pengurusan lama sebelum ini tetapi keputusannya memudahkan pengurusan masanya yang kini banyak berubah.

“Jadi saya fikir mungkin kerjaya saya sekarang lebih sesuai diuruskan oleh seorang yang sudah berkeluarga kerana semestinya dia lebih faham dan tahu bagaimana membahagikan masa antara kerjaya dan keluarga.

“Sejak beberapa bulan lalu, kerjaya saya diuruskan oleh Awin Nurin yang juga pengurus dan isteri kepada Izzue Islam. Saya sangat selesa apabila dia prihatin dan menjaga masa saya dengan keluarga,” jelas Saharul lagi.

Menyentuh kehidupan sebagai bapa, kata Saharul, dia kini cuba berubah menjadi lebih baik terutama dari segi tanggungjawab yang banyak mematangkan dirinya.

“Terlalu banyak beza kalau saya nak ceritakan satu-satu, tapi perkara paling ketara yang berlaku pada saya ialah kesedaran tentang tanggungjawab.

“Saya sebolehnya tidak mahu terlepas menyaksikan sendiri setiap momen tumbesaran anak saya yang cukup membahagiakan kami suami isteri.

“Disebabkan itulah saya sanggup mengorbankan sedikit kerjaya demi anak dan keluarga,” katanya yang mendirikan rumah tangga bersama Qaabila Deena Emir Mohamed Akif Emir pada September 2016.

Kini bergelar penyanyi rap

Dalam pada itu, Saharul turut berkongsi perkembangan terbarunya yang mula berjinak-jinak dengan dunia nyanyian apabila tampil dengan single pertamanya, Buku Putih.

Ia merupakan kolaborasi Saharul dengan komposer terkenal, Ajai, yang juga bertindak sebagai komposer lagu tersebut.

“Sebenarnya saya tak rancang pun nak jadi penyanyi, cuma peluang itu datang secara tiba-tiba apabila saya berseloroh memberitahu isteri Ajai mahu meminta lagu daripada suaminya dan mencuba nasib sebagai penyanyi.

“Siapa sangka ia menjadi kenyataan apabila Ajai menjemput saya lepak di studionya dan akhirnya terhasil single ini di mana melodinya merupakan ciptaan Ajai dan lirik oleh saya.

“Saya tahu suara saya bukan sedap sangat pun, jadi saya hanya ambil bahagian rap saja sementara yang lainnya dinyanyikan Ajai,” akuinya jujur.

Bagaimanapun Saharul menafikan penglibatannya dalam bidang nyanyian kerana mengikut trend masa kini yang menyaksikan ramai pelakon menghasilkan single.

“Saya tak buat sebab nak ikut trend, tetapi ia lebih kepada percubaan untuk melakukan sesuatu yang tidak pernah saya lakukan sebelum ini untuk mencabar kemampuan diri.

“Tak salah pun untuk cuba, kalau tak berjaya kita buat benda lain pula. Apa yang penting kita ada keberanian untuk mencari kelainan dan buat benda baru.

“Menerusi penghasilan single ini jugalah baru saya sedar ada bakat dalam penulisan lirik dan siapa tahu selepas ini saya berpeluang menghasilkan lirik lain pula,” katanya yang bakal muncul dalam program hiburan baru, Drop The Beat tidak lama lagi.