$entry.content.caption.value
Wajah kacak pelakon Ryan Reynolds atau pemilik nama sebenar, Ryan Rodney Reynolds, sering menjadi perhatian peminat dalam setiap filem lakonannya.
Tidak kisahlah jika karya yang dihasilkan kurang bermutu, namun jika yang berlakon adalah Ryan pasti peminatnya akan tetap datang ke pawagam untuk menonton.
Justeru itu, tidak hairanlah pelakon yang pernah mendapat jolokan, Sexiest Man Alive, oleh majalah terkenal Hollywood kini sering menerima watak utama dalam setiap lakonannya.
Namun, di sebalik kejayaannya mencipta nama pada hari ini, Ryan juga seperti selebriti lain yang perlu bertatih untuk membina tapak di Hollywood. Biarpun dikurniakan rupa yang kacak, anak bongsu daripada empat beradik ini tidak pernah mengambil jalan pintas, malah berusaha keras untuk menaikkan namanya dalam industri perfileman antarabangsa.
Hampir sedekad mencipta nama dalam industri dengan watak picisan, anak kelahiran British Columbia, Kanada, ini kemudiannya ditawarkan watak utama dalam siri televisyen popular Two Guys, a Girl and a Pizza Place.
Ternyata wataknya sebagai penuntut perubatan (Michael Berg Bergen) dalam siri tersebut berjaya menaikkan namanya sehingga ditawarkan berlakon sebagai watak utama untuk filem National Lampoon’s Van Wilder, pada tahun 2002.
Mula dengan watak komedi menjadi wira yang disayangi, kemudian beralih ke watak yang dibenci, pemburu puntianak, bapa tiri yang dirasuk sehinggalah penjaga rumah penjenayah, Ryan akhirnya berjaya membuktikan kemampuannya sebagai pelakon berbakat besar dalam pelbagai genre yang berbeza.
Pengaruh tiga wanita
Selepas kejayaannya dalam filem Van Wilder, pelakon yang berusia 36 tahun ini menemui seseorang yang berjaya menaikkan lagi namanya, iaitu penyanyi dan penulis lagu terkenal Alanis Morissette.
Ryan mula berpacaran dengan Alanis selepas meraikan majlis hari jadi, Drew Barrymore pada sekitar 2002. Sepanjang hubungan tersebut, Ryan dikatakan berjaya menumpang populariti Alanis yang ketika itu merupakan penyanyi hebat di Hollywood, sekali gus membuatkan nama jejaka itu begitu dikenali.
Dalam pada itu, kerjaya pelakon yang lahir pada 23 Oktober 1976 ini begitu berkembang sehingga ditawarkan watak sebagai pemburu hantu untuk filem Blade: Trinity lakonan bersama Jessica Biel.
Hampir dua tahun menjalin hubungan dengan Alanis, kedua-duanya membuat keputusan untuk bertunang pada Jun 2004. Kembali membawakan watak komedi, jejaka tinggi lampai ini menerima tawaran berlakon filem romantik komedi, Just Friends pada 2005.
Malah bagi memberikan sokongan kepada Ryan, Alanis ketika itu sanggup menerima tawaran sebagai pelakon cameo dalam filem tersebut. Bagaimanapun, hubungan mereka tidak berpanjangan apabila mereka mengumumkan berpisah secara rasmi, pada Februari 2007. Malah Alanis juga muncul dengan album, Lavors of Entanglement, sejurus perpisahannya itu.
Tidak lama kemudian, Ryan digosipkan pula bersama bintang berambut perang, Scarlett Johannson. Nyata berita itu bukanlah gosip semata-mata apabila mereka mengumumkan pertunangan pada 5 Mei 2008. Empat bulan selepas itu, mereka membuat keputusan untuk berkahwin secara tertutup pada 27 September 2008, di British Columbia.
Bagaimanapun, hubungan mereka tidak lama, setelah mengambil keputusan berpisah pada September 2010. Ryan kemudiannya memfailkan penceraian pada 1 Julai tahun lalu dan menerima respons serta-merta daripada Scarlett.
Pun begitu, khabarnya kini Ryan sudah pun menemui pengganti iaitu pasangannya dalam filem Green Lantern, Blake Lively. Selain dihidangkan dengan berita-berita mengenai hal peribadinya, Ryan turut sibuk menerima tawaran berlakon filem hebat seperti Definitely; Maybe, X-Men Origins: Wolverine dan filem terbaru, The Croods dan R.I.P.D.
Cinta Scarlett
Biarpun telah bercerai secara rasmi, namun khabarnya Scarlett masih lagi mengambil berat mengenai bekas suaminya itu. Malah aktres ini pernah memberitahu media mengenai perkara yang terbaik dalam hidupnya adalah dengan mengahwini Ryan.
“Saya tidak pernah rasa menyesal berkahwin dengan Ryan biarpun hanya bertahan selama dua tahun. Hal perkahwinan merupakan perkara paling baik untuk dilakukan kerana ia suatu yang natural. Ia lahir daripada rasa cinta dan kasih sayang serta perasaan ingin berkongsi dengan seseorang untuk kehidupan masa depan. Saya bernasib baik kerana pernah berkahwin dengan seorang yang memang menepati kriteria pilihan saya,” katanya.
Malah, Scarlett khabarnya berang apabila mendapat tahu pelakon Gossip Girl, Blake Lively menjalin hubungan dengan bekas suaminya itu. Menurut sumber, sebelum ini, Ryan pernah cuba untuk berbaik dengan Scarlett, namun hampa apabila aktres itu mula berpacaran dengan Sean Penn.
Melihat hal itu, Ryan tidak menunggu lama untuk mula mencari pengganti namun baik Ryan mahupun Blake tidak mahu menggembar-gemburkan percintaan mereka kepada media.





