Rihanna titis air mata, masih sayangi Chris Brown
PENYANYI sensasi antarabangsa, Rihanna dengan nada sedih berkata dia amat mengambil berat mengenai bekas kekasihnya, Chris Brown.
Sebelum ini, pasangan terkenal Hollywood itu pernah berpacaran dan selepas tersebarnya insiden Brown memukulnya pada 2009, mereka terus memutuskan hubungan cinta yang terjalin.
Rihanna pertama kali membuat pengakuan kepada Oprah Winfrey melalui rancangan bual bicaranya Oprah’s Next Chapter yang akan ke udara 19 Ogos ini.
Dalam teaser rancangan itu, yang disiarkan msnbc, Rihanna mengaku seperti telah kehilangan kawan baik dan berasa sedih dengan keadaan Brown yang dibenci ramai peminat sejak kejadian memalukan yang terjadi di antara mereka.
“Saya kehilangan kawan baik," kata Rihanna dengan nada emosi sambil dilihat menitiskan air mata sewaktu rancangan bual bicara itu dirakamkan di negara asalnya, Barbados.
“Walaupun saya rasa marah dan terluka dengan insiden dipukul itu, tetapi saya rasa dia melakukan kesilapan itu kerana dia memerlukan pertolongan dan sekarang tiada siapa mahu menolongnya, malah mengatakan dia adalah seperti raksasa (seorang yang jahat) tanpa melihat kenapa dia berkeadaan sedemikian. Saya berasa prihatin dan lebih mengambil tahu mengenainya selepas itu.
Penyanyi yang terkenal dengan lagu Rude Boy dan Umberella ini dikatakan kembali berbaik dengan Brown sejak tersebarnya gosip mereka berjumpa berdua-duaan dua bulan lalu.




