Kilafairy
Keluarga bahagia... Kilafairy gembira papa (Jangir Khan) dan mamanya memberi sokongan penuh untuk membuka butik Rack.
Mungkin ramai yang menganggap kerjaya selebriti menjanjikan pulangan yang lumayan tambahan pula apabila nama sedang berada di puncak.
Namun, bagi pelakon dan penyanyi, Kilafairy atau mesra disapa Kila ini, gelaran selebriti bukanlah tiket untuknya duduk bersenang-lenang tanpa melakukan sesuatu yang boleh menjana pendapatannya.
Meskipun usianya baru mencecah 20 tahun pada 17 Mei lalu, namun pemilik nama sebenar Syakila Nisha Jangir Khan ini tidak mahu hanyut dengan populariti yang diraihnya kini.
Sesuai dengan bidang pengajian yang diambil, graduan Diploma Pengurusan dan Pemasaran Fesyen dari Kolej Antarabangsa Raffles, Kuala Lumpur ini kini bergiat dengan bidang perniagaan butik.
Menurutnya, butik yang dibuka hasil duit simpanannya selama ini turut dikongsi bersama kakaknya, Shakira Idora yang juga merupakan graduan Diploma Rekaan Fesyen.
“Sebagai selebriti, saya sedar akan putaran pasang surut yang perlu dilalui. Saya tidak mahu terlalu selesa dengan populariti yang diraih kini. “Jadi, sebagai persediaan, saya dan kakak (Shakira) setuju untuk membuka perniagaan butik memandangkan kami berdua belajar dalam bidang fesyen.
Saya anggap pembukaan butik ini sebagai pelaburan saya untuk masa akan datang,” katanya semasa pelancaran butik Rack di USJ 19, City Mall, Subang Jaya.
Menyentuh pemilihan Rack sebagai nama butik tersebut, anak kepada penyanyi terkenal zaman 80-an, Rohana Jalil ini menyifatkan Rack sebagai refleksi mereka dalam menghasilkan fesyen.
Memandangkan kedua-dua adik beradik ini menggemari cerita-cerita fantasi dan imaginasi, jadi mereka bersetuju memilih Rack yang menjadi simbolik kepada tanduk rusa sebagai ikon fantasi.
“Rack diambil sebagai merujuk kepada tanduk rusa yang kami kira cukup sinonim untuk dunia fantasi. Bagi saya sendiri, simbolik tanduk rusa yang mempunyai dua cabang ini mewakili idea Kila dan kakak.
“Saya lebih meminati fesyen yang mewah dan elegan sementara kakak (Kira) lebih menjurus kepada fesyen rock dan ceria,” kata pelakon filem Karak ini.
Sokongan keluarga
Masih memerlukan tunjuk ajar daripada keluarga, Kila gembira apabila papa dan mamanya memberi sepenuh sokongan untuk membuka perniagaan itu.
Menganggap butik itu tidak akan berjaya tanpa dorongan dan sokongan kedua-dua mereka, gadis yang digelar Angelina Jolie Malaysia ini, bersyukur apabila mamanya (Rohana Jalil) tidak berkira memberikan premis tersebut
kepada mereka
“Mama memberi sokongan penuh untuk membuka butik ini tambahan pula dia telah membeli premis ini sejak tiga tahun lalu.
Namun, disebabkan ketika itu pusat membeli-belah ini banyak memfokuskan kepada barangan digital, jadi peluang untuk membuka butik ketika itu terpaksa ditunda.
“Alhamdulillah selepas berganti pihak pengurusan, pusat membeli-belah ini tidak hanya tertumpu kepada barangan digital sahaja sebaliknya banyak butik lain yang turut dibuka di sini.
“Tambahan pula, papa juga gembira dengan keputusan kami untuk memulakan perniagaan kerana dia berpesan bidang hiburan ini belum tentu dapat menjamin masa depan,” katanya.
Menerima stok pembekal dari luar negara seperti Australia dan London, gadis berbibir mungil ini menitikberatkan kualiti pada setiap produk di butiknya.
Menggunakan tema 'Ready To Wear', Kila memberitahu, bukan semua pakaian yang diambil daripada pembekal terus dijual di butiknya.
“Bezanya di Rack ini, kami bukan hanya ambil barang daripada pembekal dan terus letak di butik ini, sebaliknya kami akan mengubah suai balik pakaian tersebut mengikut fesyen terkini,” katanya sambil memberitahu harga barangan tidak melebihi RM500.
Reka kasut sendiri
Selain menjual pakaian wanita, produk lain yang ditawarkan seperti kasut tumit tinggi, tas tangan dan aksesori.
Tidak mensia-siakan bakat yang ada dalam dirinya, Kila sanggup meluangkan masa untuk mereka kasut tumit tinggi memandangkan gadis ini juga turut menggemari jenis kasut seperti itu.
“Menyedari kesukaran itulah timbul idea untuk mereka sendiri kasut tumit tinggi yang ringkas dan selesa sesuai dengan kehendak remaja masa kini,” katanya yang turut mempunyai perancangan untuk membuka cawangan lain Rack pada masa akan datang.
Kila berkata, dia juga bakal mempelbagaikan produk di butiknya itu dengan menampilkan barangan lelaki seperti pakaian, tali pinggang dan dompet.
Dalam pada itu, Kila bakal berangkat ke Melbourne, Australia awal Julai depan.
“Saya ke sana untuk hantar kakak saya melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah. Sambil itu, saya mengambil kesempatan bercuti selama sebulan.
Di samping itu, bolehlah kami meninjau peluang dan mencari idea mempelbagaikan barangan di butik kami,” katanya.
Pilih watak
Mengulas mengenai kerjaya seninya, Kila bakal keluar dengan lagu solo pertamanya berjudul Pasti hasil ciptaan Amylea AF.
Menurutnya, lagu tersebut mengisahkan percintaan antara pasangan yang baru berkahwin tetapi perlu tinggal berjauhan.
“Jika kebanyakan penyanyi sering membuat lagu untuk pasangan bercinta, apa salahnya saya cuba nyanyikan lagu pasangan cinta jarak jauh.
Mungkin ini satu kelainan yang saya tampilkan dalam lirik dan lagu dihasilkan oleh Amylea AF,” katanya yang turut menyanyikan lagu tersebut dalam bahasa Inggeris.
Ditanya mengenai kerjaya lakonannya, Kila beritahu tidak mahu menerima watak penggoda buat sementara ini.
Ingin lari daripada dilabel pelakon stereotaip, anak kelahiran Kuala Lumpur ini ingin memberikan variasi dalam lakonan.
“Saya bukannya sudah bosan dengan watak gedik dan penggoda, cuma kalau boleh saya ingin beri kelainan pada setiap lakonan saya.
“Jika sering lakonkan watak sama, peminat akan label saya pelakon stereotaip padahal saya boleh bawa watak lain juga,” katanya.




