Tarian Gangnam Style semakin mendapat perhatian lebih daripada 90 juta penonton sejak dilancarkan Julai lalu.
Penyanyi K-Pop, Jae- Sang Park, 34, atau lebih dikenali dengan nama PSY begitu besar apabila video lagunya, Gangnam Style semakin mendapat perhatian ramai.
Tidak dinafikan pengaruh yang dibawa penyanyi K-Pop, Jae-Sang Park, 34, atau lebih dikenali dengan nama PSY begitu besar apabila video lagunya, Gangnam Style di YouTube mendapat perhatian lebih daripada 90 juta penonton sejak dilancarkan Julai lalu.
Jika sebelum ini kehadiran PSY dalam dunia hiburan Korea Selatan tidak begitu menonjol, kini dia berjaya membuktikan fizikal bukanlah penghalang untuknya dikenali seantero dunia.
Apa yang mengagumkan, pelbagai versi Gangnam Style dimuat turun peminatnya, malah jumlah penonton videonya di Youtube juga semakin meningkat.
Bagai mimpi menjadi realiti, PSY sehingga kini masih tidak mempercayai kejayaan yang diperolehnya. Ternyata, kemampuan PSY mewujudkan satu fenomena baru di seluruh dunia telah mengubah keseluruhan hidupnya.
TUAH TARIAN KUDA
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tidak siapa yang tahu. Selain mendapat perhatian peminat K-Pop seluruh dunia, lagu yang telah menjadi ikutan jutaan peminat itu turut berjaya menduduki tangga pertama carta muzik video iTunes.
Secara tidak langsung, menjadikan rapper kelahiran Korea Selatan ini mengaut keuntungan lebih US$10 juta (RM31 juta).
Ini bermakna, idea baru menampilkan tarian ‘kuda’ ini telah berjaya mendapat tempat dihati masyarakat seluruh dunia. Lebih membanggakan, baru-baru ini PSY ditawarkan mengikat kontrak bersama Island Agency, sebuah label yang turut menampilkan penyanyi popular antarabangsa seperti Justin Bieber dan Jennifer Lopez.
Pada 4 September lalu, PSY telah bersetuju menerima kontrak itu dan secara rasminya telah bernaung di bawah agensi tersebut.




