PASANGAN kekasih yang menjadi perhatian ramai, Priyanka Chopra dan Nick Jonas, akhirnya rasmi mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis ringkas namun penuh adat di Mumbai, India.

Aktress Bollywood dan bintang Hollywood ini masing-masing berkongsi momen manis semasa berlangsungnya majlis tersebut dengan memuat naik foto menarik mereka berdua untuk tatapan peminat.

Malah Jonas juga begitu teruja mengumumkan berita gembira tersebut sebaik majlis selesai.

"Bakal Puan Jonas. Cinta hati saya," tulisnya sebagai kapsyen pada sekeping gambar romantis dia dan Priyanka.

Tidak hanya Jonas, Priyanka juga memperlihatkan rasa bahagianya apabila berjaya bergelar tunangan kepada aktor kacak itu.

"Cara yang betul untuk melakukannya adalah bersama keluarga dan Tuhan. Terima kasih atas restu anda semua," tulisnya.

Meskipun tarikh rasmi majlis pernikahan mereka belum dikongsi kepada umum, namun ada khabar angin yang tersebar mengatakan pasangan ini dikatakan bakal menamatkan zaman bujang  mereka sekitar  Oktober depan.