JIKA sebelum ini aktres terkenal, Cate Blanchett melawat kem pelarian di Cox'S Bazar, Bangladesh.

Terbaharu artis Bollywood, Priyanka Chopra juga melakukan perkara yang sama menyaksikan sendiri kehidupan malang kanak-kanak Rohingya dan memantau situasi di kem tersebut.

Memetik laporan media Arab News, Priyanka, 35, dijadualkan berada di kem itu selama empat hari.

Menerusi tulisannya di Instagram, dia memberitahu perkara yang sangat menyedihkan menimpa pelarian Rohingya.

"Pada suku kedua 2017, dunia menyaksikan imej mengejutkan pembersihan etnik dari Negeri Rakhine di Myanmar. Keganasan itu memaksa hampir 700,000 Rohingya lari menyeberangi sempadan ke Bangladesh - 60 peratus adalah kanak-kanak!", tulisnya.

Lawatan Priyanka itu bersama UNICEF bermula di kem Hariakhali di daerah kecil Teknaf di Cox's Bazar, dan diikuti ke kem Unchiprang yang ketika ini menempatkan 30,000 pelarian Rohingya.

"Dunia perlu peka. Kita perlu peka. Kanak-kanak ini adalah masa depan kita. Tolong beri sokongan anda di www.supportunicef.org," tulisnya lagi.

Selaku jurucakap UNICEF di Cox's Bazar, Benjamin Steinlechner, lawatan aktres ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat dunia.

"Beliau berada di sini untuk meningkatkan kesedaran global terhadap isu pelarian kanak-kanak Rohingya," katanya.

Terdahulu, Priyanka bertemu kanak-kanak Syria.