SEMENJAK ditayangkan pada 2 November tahun lalu, rancangan bual bicara, Primadona kelolaan empat selebriti popular - Ziela Jalil, Raja Azura, Erra Fazira dan Rozita Che Wan semakin mendapat perhatian ramai.

Biarpun dipuji kerana kandungan program dan cara penyampaian yang lebih segar, rancangan ini tidak terlepas daripada mendapat kritikan.

Antaranya berkaitan cara pemakaian tiga hos program ini iaitu Erra, Rozita dan Raja Azura atau Kak Engku yang disifatkan kurang sopan, biarpun antara tetamu jemputan yang hadir terdiri daripada tokoh agama.

Paling ketara, aktres jelita, Rozita Che Wan yang mengenakan skirt paras lutut sehingga menampakkan bahagian betis dan pahanya.

Menjelaskan mengenai pemakaian hos terbabit, Penerbit Eksekutif Primadona, Noor Haina Itam menjelaskan, pemakaian pengacara disediakan oleh hos itu sendiri kecuali Raja Azura yang meminta pihak Astro menyediakan untuknya.

"Sejak awal lagi, kita sudah ingatkan kepada mana-mana pengacara bahawa mereka hanya dibenarkan memakai skirt di bawah paras lutut dan Erra serta Rozita mengikut peraturan itu.

"Jadi, selalunya jika mereka memakai skirt, mereka akan pakai skirt di bawah paras lutut. Namun kita menerima secara positif komen daripada penonton dan selalunya pihak produksi dan pengacara akan berjumpa untuk memperbaiki segala kelemahan. Terima kasih kepada penonton yang prihatin dengan perkara itu," jelasnya kepada Zass.

Haina berkata, penonton juga harus memahami bahawa program berkenaan bukannya program agama, namun pihak produksi gemar menjemput individu yang arif tentang soal agama untuk menjawab segala persoalan kerana merasakan mereka lebih sesuai dalam memberikan nasihat.

"Program ini adalah program universal. Oleh kerana itu, pengacara akan berpakaian yang sesuai mengikut episod. Bagaimanapun, jika penonton perasan, sejak akhir-akhir ini, ketiga-tiga pengacara terutamanya Rozita tampil lebih sopan dengan memakai dress," ujarnya.

Masuk musim kedua

Menyentuh mengenai perkembangan program tersebut, Haina berkata, memasuki musim kedua, Primadona bakal bersiaran secara langsung bermula 3 Mei ini, setiap Jumaat jam 9 malam.

Katanya, rakaman untuk musim pertama telah pun selesai dan akan berakhir pada April ini.

"Buat masa ini, pihak kami masih menanti jawapan daripada keempat-empat pengacara sama ada mereka akan terlibat lagi pada musim kedua atau tidak, dan mereka dijangka menghantar jawapan pada minggu ini juga.

"Saya berharap akan menerima khabar gembira daripada mereka kerana sebelum ini ada yang memaklumkan terikat dengan tawaran berlakon dan tidak pasti dapat terlibat atau tidak.

"Pihak produksi juga sehingga kini tidak ada perancangan untuk menukar pengacara bagi musim kedua ini.

"Namun yang akan bertukar adalah set program ini," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KANGAR - Seorang atlet pelapis berbasikal Perlis maut dalam kemalangan ketika menjalani latihan di Jalan Wang Kelian dekat sini, hari ini.
  • SEREMBAN - Majlis pelancaran jersi baharu Skuad Jang yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari ini di premis Al-Ikhsan di Seremban 2, di sini, telah ditunda ke satu tarikh lain.
  • SHAH ALAM - Pas memilih pendekatan tunggu selepas selesai PRU14 bagi menamakan calon menteri besar Selangor jika berjaya menang dan menjadi kerajaan di negeri itu.
  • KUALA NERUS - Poliklinik akan dibangunkan di lima kem tentera dalam usaha meningkatkan mutu kesihatan dan rawatan untuk anggota tentera, keluarga mereka dan juga veteran, kata Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
  • PONTIAN - Anak bongsu dari enam beradik, Nurul Farah Haida, 21 menyimpan impian untuk meraikan hari jadi ayah Mahabob Hasimat, 55 pada 31 Januari ini bersama seluruh ahli keluarga.