SELEPAS sekian lama berdiam diri berkaitan kesihatan dirinya, hero drama Mr. Grey, Fendy Bakry memaklumkan keadaannya sekarang.

Menerusi posting yang di buat di Insta Stories akaun Instagramnya, aktor berusia 30 tahun ini mengakui kurang sihat namun bukan dalam keadaan teruk seperti dilaporkan sebelum ini.

"Assalamualaikum kesayangan abang. Untuk makluman semua abang sihat je kat sini. Sakit pun cuma sikit je. Bukanlah teruk sangat macam semua tengok.

"Ironman pun boleh sakit, tak kanlah abang yang macam ini tak boleh sakit.

"Cuma sekarang mendoakan je lah yang baik-baik untuk abang. Insya Allah abang okay," tulisnya.

Tambah selebriti yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Pencarian Hero Remaja 2012 itu, dia berharap peminatnya tidak mudah percaya dengan khabar angin yang tersebar mengenai keadaan dirinya.

"Esok-esok bila abang dah betul-betul sihat, abang sendiri akan cerita apa yang sebenarnya terjadi.

"Sekarang abang hanya perlukan rawatan dan bukan untuk dilawati. Yang nak bagi hadiah pun tak perlulah. Kirim doa lebih baik, besar rahmatnya," ujarnya sambil berseloroh mahu melihat barang dapur bersama ibunya.

Sebelum ini, keadaan kesihatan pemilik nama sebenar Mohd. Affandi Nor Bakri kembali merosot dan ditempatkan di sebuah wad di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk rawatan lanjut.

Bahkan menerusi beberapa sumber, Fendy terkena buatan orang selepas dia jatuh sakit sebaik penggambaran drama Mr. Grey berakhir.