PENANTIAN 10 tahun pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 50, dan isterinya, Fazema Mohd Fuad, 40, untuk menimang cahaya mata akhirnya dimakbulkan.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram miliknya kira-kira jam empat petang tadi, Adam Corrie memaklumkan isterinya sudah selamat bersalin di sebuah pusat perubatan swasta di Ampang.

"Alhamdulillah, bidadari saya sudah selamat melahirkan BabyLee tadi. Jutaan terima kasih yang mendoakan kesejahteraan kami.

"Senyum selalu, selalu bersangka baik, Insya Allah hati tenang," tulisnya.

Rata-rata pengikut Instagram termasuk rakan artis mengucapkan tahniah dan turut meluahkan rasa  terharu dengan kehadiran insan baru dalam hidup mereka.

Adam  Corrie memeluk Islam pada 13 Julai 2007 dan berkahwin dengan Fazema pada 2008.

Mac lalu, pelakon yang terkenal menerusi filem KL Gangster ini mengumumkan berita kehamilan isterinya juga menerusi akaun Instagram.