JUARA Mentor Milenia (2016), Fareez Fauzi mengakui perjalanan kariernya sebagai penyanyi agak perlahan berbanding rakan seperjuangannya iaitu Haqiem Rusli.

Fareez berkata, peluangnya di lapangan seni dan hiburan tempatan kurang mendapat tempat namun dia tidak mengalah sebaliknya bakal menampilkan single terbaharu tidak lama lagi.

"Bagi yang bertanya ke mana perginya Fareez Fauzi? Ada sahaja dalam industri cuma peluang saya kurang sedikit jika nak dibandingkan dengan Haqiem.

"Walaupun masih belum mendapat tempat dalam industri muzik, saya akan terus menghiburkan kepada semua peminat muzik tanah air.

"Sebagai usaha untuk kekal relevan dan terus bergerak saya akan keluarkan single terbaharu dengan genre yang telah lama saya nantikan iaitu rock," katanya jujur kepada Sinar Harian.

Fareez ditemui ketika majlis perasmian Bunker Hotel & Restoran milik bapanya, Fauzi Nawawi, baru-baru ini.

Ujarnya lagi, hotel butik bapanya yang mempunyai mini stage untuk busking itu akan digunakan sebaiknya untuk berlatih menyanyi.

"Sebenarnya bukan sahaja sebagai tempat saya mengasah bakat nyanyian, tetapi saya juga akan menghiburkan tetamu yang menginap di sini," katanya ringkas.