SEJAK awal pembikinan semula filem ini, ia sudah mendapat perhatian peminat genre seram bukan sahaja di Indonesia, bahkan di negara serantau lain seperti Malaysia dan Singapura.

Mengekalkan judul sama dari filem asalnya, Pengabdi Setan arahan Joko Anwar mendapat respons yang cukup positif di Indonesia semenjak mula ditayangkan 28 September lalu.

Kini filem berkenaan bakal ditayangkan di Malaysia bermula 23 November ini.

Penulis yang berkesempatan menonton filem ini lebih awal tidak dapat menafikan Pengabdi Setan mengundang debaran tersendiri sejak lima minit filem ini bermula.

Tidak hanya menonton, penulis bersama teman media lain juga berkesempatan menemu bual Joko dan dua pelakon filem ini, Tara Basro dan Dimas Aditya yang turut hadir mempromosikan Pengabdi Setan di Malaysia.

Akui Joko, lokasi rumah yang digunakan di dalam filem ini merupakan rumah yang sudah ditinggalkan sejak 20 tahun lalu dan dibina pada zaman British lagi.

"Selepas berbulan-bulan mencari lokasi rumah yang sesuai, akhirnya saya 'bertemu' dengan rumah ini dan ketika pertama kali melihat, saya sudah jatuh hati.

"Namun keadaan rumah yang sudah usang membuatkan saya berfikir dua kali untuk menjalani penggambaran di situ. Tetapi kami sepakat untuk memperbaiki beberapa bahagian rumah berkenaan.

"Dan saya sangat bersyukur mendapat team yang komited dengan kerja mereka. Jadi rumah yang sepatutnya ambil masa dua bulan untuk diperbaiki siap dalam masa sembilan hari sahaja," katanya ketika ditemui di GSC Midvalley Megamall.

Tambah Joko, disebabkan rumah itu sudah ditinggal lama, mereka tidak terlepas daripada gangguan mistik sepanjang penggambaran berlaku.

"Ada satu babak, di mana kita rakam mayat bangkit dari kubur, namun selepas dilihat semula dan dikira, jumlah pelakon tambahan berlebihan.

"Bukan itu sahaja, pelakon dan kru juga turut melihat kelibat daripada cermin di dalam rumah terbabit dan dalam filem ini juga, kita ada paparkan mengenai Rini lakonan Tara yang melihat kelibat dari cermin," ujarnya.

Joko berkata, walaupun filem ini dibuat semula, namun dia masih lagi mengekalkan elemen seram, debaran dan kejutan sama seperti filem terdahulu.

"Bagi mereka yang tidak pernah menonton filem pertama, jangan bimbang kerana anda masih boleh memahami filem ini dan merasai keseraman yang sama.

"Saya pernah 'dihantui' ketika menonton filem ini semasa kecil dan kini giliran anda pula merasainya," katanya sambil ketawa.

Selain Tara dan Dimas, filem ini menampilkan pelakon handalan Malaysia, Bront Palarae bersama Egi Fedly, Ayu Laksmi, Fachri Albar, Asmara Abigail dan ramai lagi.

Ia mengisahkan tentang sebuah keluarga di mana si ibu telah mengalami sakit yang aneh selama tiga tahun sebelum meninggal dunia.

Si bapa kemudian telah mendapat kerja di luar kota dan terpaksa meninggalkan anak-anaknya di rumah. Namun kejadian aneh mula berlaku apabila roh si ibu muncul di rumah.

Pada mulanya anak-anak itu merasakan si ibu mahu datang melawat mereka tetapi akhirnya mengetahui bahawa roh ibu mereka mahu membawa mereka pergi ke dunianya.

Apakah yang akan berlaku seterusnya? Saksikan filem ini di pawagam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :