DI hari pernikahan, hatinya berkata, dengan nama ALLAH, dia tetap akan memilih Rizman, iaitu abang angkat yang terlalu membenci dirinya untuk menjadi imamnya. 

Demi Allah, Qasya tetap dengan pilihannya itu walaupun perlu berdepan dengan kebencian dari suaminya sendiri mahupun keluarga angkatnya.

Begitulah antara sebahagian penceritaan drama terbaharu di TV3, Aku Pilih Kamu lakonan Hafidz Roshdi (Rizman), Dayana Roza (Qasya Azara), Fazreen Rafi (Adam), Ryzal Jaafar (Farouk), Elizad Sharifuddin (Nadiya), Sasqia (Isabel), Zila Bakarin (Datin Rosnaida), Arash Mohd. (Datuk Mizal) dan Rahhim Omar (Tan Sri Zainal), 

Drama bersiri 15 episod arahan oleh Zul Huzaimy Marzuki ini merupakan hasil nukilan skrip oleh Rozie Rashid, disiarkan setiap hari Rabu dan Khamis, jam 10 malam, bermula sejak 3 Disember lalu. 

Melihat pada jalan penceritaannya, skrip drama ini seolah-olah diolah dari novel, namun hakikatnya, ia adalah karya yang ditulis oleh Rozie, yang juga pelakon selama hampir dua bulan.

Menurut Rozie, idea skrip ini datang dari kisah yang pernah berlaku di kalangan rakan-rakannya, namun di olah mengikut kesesuaian persekitaran dan waktu.

"Kalau ikutkan saya dah lama menulis skrip dan skrip Aku Pilih Kamu ini juga sudah lama ditulis.

"Walaupun sekarang ini banyak penerbit cenderung untuk mengolah skrip dari novel, tapi skrip baharu seperti ini tetap mendapat tempat.

"Apatah lagi bila skrip baharu, ia menampilkan sebuah jalan cerita segar.

"Untuk Aku Pilih Kamu saya akui 20 peratus perjalanan cerita di dalam skrip ini memang berlaku dan ia adalah pengalaman kawan-kawan dan orang sekeliling. Dari situ saya olah dan jadikan ia sebuah cerita," katanya kepada Zass.

Turut berpengalaman menulis skrip yang diolah dari novel, Rozie berkata, perbezaan antara skrip yang diolah dan skrip yang baru ditulis adalah kepuasan.

"Sebenarnya lagi seronok tulis skrip baharu kerana kita tak terikat berbanding olah skrip kerana kita kena ikut jalan cerita," katanya.

Menerima respons positif daripada penonton, Rozie berkata, dia berharap drama ini akan diterima dan penonton akan mengikuti hingga ke penghujung kisah Rizman dan Qasya.

"Saya memang harapkan yang terbaik. Yang baik dalam cerita ini kita jadikan teladan dan yang buruk kita jadikan sempadan. Apa pun saya tak boleh puaskan semua penonton," katanya yang menulis bersama kumpulannya, TGRs Team.

 

Zul Huzaimy puji pelakon

Dalam pada itu, berkongsi pembikinan drama ini, Aku Pilih Kamu menjalani penggambaran sekitar dua bulan lalu selama 56 hari melibatkan kawasan di sekitar Kuala Lumpur, Sekinchan dan Johor Bharu.

Tidak menghadapi sebarang masalah sepanjang penggambaran drama ini, Zul turut memuji penglibatan para pelakon di dalam drama ini terutamanya pelakon baharu Hafidz Roshdi yang bergandingan dengan Dayana Roza.

"Walaupun mereka pelakon baharu, tapi kita tak boleh pandang bakat mereka sebelah mata. Dulu pun orang tak kenal siapa Zul Huzaimy.

"Bagi saya walaupun mereka baharu, tapi mereka beri lakonan yang cukup baik dan dengan pengikut mereka, saya percaya mereka boleh pergi jauh," katanya.

Zul berkata, kelebihan drama ini adalah jalan ceritanya yang segar dan dia turut melakukan kelainan semasa proses suntingan agar ia menarik untuk ditonton.

"Saya bersama dengan proses suntingan yang lebih menarik dan cepat serta tidak melodrama atau terlalu meleret," katanya yang turut berharap drama ini akan mendapat sambutan dan diterima baik oleh penonton.

Justeru bagaimanakah Qasya mengatasi rintangan dan cabaran yang hadir dalam hidupnya? Saksikan Aku Pilih Kamu menerusi slot Samarinda TV3 pada setiap hari Rabu dan Khamis, jam 10 malam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOYAH kini kembali. Atas sambutan hangat terhadap telemovie Joyah sebelum ini, memberi idea kepada ZK Creative Production Sdn Bhd, mengangkat Joyah ke dalam drama bersiri.
  • SEPERTI dijangka, drama bersiri 7 Hari Mencintaiku menang besar pada Malam Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017.
  • KISAH perbezaan dua darjat dalam percintaan sering menjadi pilihan diketengahkan sebagai plot yang melatari drama mahu pun filem.
  • PASTI ramai yang tidak mampu melupakan penangan filem adaptasi Ombak Rindu lakonan Aaron Aziz dan Maya Karin hasil sentuhan novelis Fauziah Ashari yang menjadi fenomena sekitar tahun 2011.