• Nabila Huda Nabila Huda
1 /

Minggu lalu, nama Nabila Huda menjadi tarikan kerana kontroversinya berpakaian seksi semasa Anugerah Blockbuster. Tidak lari dari kesilapan, Nabila atau mesra di sapa Abil tampil dengan kenyataan demi kenyataan di dada akhbar.

Kemudian, Nabila mengambil pendekatan mendiamkan diri bagi mengelakkan kontroversi itu terus berlanjutan.

Bagaimanapun, kehadiran Nabila pada sidang media Anugerah Skrin 2012, Rabu lalu, ibu kepada Keisha Laila ini sekali lagi menjadi perhatian umum. Malah, tidak kurang juga ada secara sinis bertanya, adakah Nabila bakal berpakaian seksi pada majlis anugerah berkenaan yang berlangsung pada 9 November ini.

“Saya bukannya bodoh untuk mengulang kesilapan yang sama berkali-kali. Selepas ditegur oleh ramai pihak dan papa sendiri, tentulah saya akan memastikan pakaian saya lebih sesuai pada majlis berkenaan.

“Bagaimanapun, saya belum tahu lagi fesyen apa yang akan saya gayakan kelak. Bagi mengetahui hasilnya, sama-samalah kita tunggu majlis tersebut nanti,” jelasnya.

Nabila berkata, perkara tersebut sepatutnya tidak seharusnya digembar-gemburkan kerana apa yang berlaku pada malam berkenaan (Anugerah Blockbuster) hanyalah perkara kecil.

“Bila sesuatu perkara kecil digembar-gemburkan, maka ia akan jadi isu yang besar. Seterusnya bila ia dikontroversikan, maka kontroversilah perkara itu jadinya. Tapi saya okay sahaja dan saya akan pastikan perkara seumpama itu (berpakaian seksi) tidak akan berulang lagi.

“Saya tak tertekan langsung dengan apa yang berlaku sebab saya faham itu kerja masing-masing. Pada saya, asalkan orang tak kacau periuk nasi saya, cukup. Kalau ganggu periuk nasi saya, saya akan ambil serius tentang perkara itu,” katanya.

Bukan hipokrit

Nabila berkata, dia sebenarnya banyak belajar dari kontroversi yang pernah berlaku dalam hidupnya sebelum ini dan sentiasa memastikan dirinya tidak mengulang kontroversi yang sama berkali-kali.

“Sejujurnya saya bukan hipokrit. Apa yang saya pakai, itu adalah diri saya. Saya pasti, orang di luar sana juga lebih sukakan individu yang jujur dari bermuka-muka. Saya sedar, ada orang suka kita, ada orang tak suka kita.

“Semua itu normal dalam industri. Pada saya, saya dah lali sebab saya dah lalui banyak peringkat. Malah saya rasa banyak orang dah kenal saya, mereka lebih kenal diri saya sejak dari belasan tahun hinggalah sekarang saya berusia 28 tahun. Apa yang penting saya tak hipokrit. Apa yang orang nampak saya selama ni, itulah saya,” jelasnya.

Masih bersama Johan

Namun, dalam ‘kekecohan’ mengenai isu bajunya itu, Abil sekali lagi menjadi perhatian apabila hubungan ‘cintanya’ bersama aktor, Johan As’ari dikatakan sudah berakhir.

Semuanya dikatakan berpunca daripada keluarga Johan yang tidak merestui hubungan tersebut, menyebabkan Johan terpaksa mengambil keputusan untuk meninggalkan Nabila

Bagaimanapun, tidak seperti yang dikhabarkan banyak pihak bahawa mereka telah berpisah, sewaktu berlangsungnya majlis sidang media Anugerah Skrin 2012, Nabila dan Johan datang bersama dan turut menjadi tumpuan lensa kamera kerana pakaian fantasi sedondon mereka itu dan nampak cukup mesra.

“Macam yang saya cakap sebelum inilah, kami tidak bergaduh dan saya pelik kenapa orang kata kami dan bergaduh dan berpisah sedangkan kami sebenarnya hanya berkawan. Ya, Johan adalah lelaki yang rapat dalam hidup saya kini tetapi hubungan kami hanya sekadar kawan sahaja.

“Saya rasa penat untuk ulang benda yang sama banyak kali, kami hanya kawan baik, kawan baik. Cuma kadang-kadang kami sibuk dan tiada masa nak jumpa, itulah sebabnya kami jarang berjumpa. Saya harap cerita ini tidak dimainkan lagi kerana saya sendiri rasa bosan untuk ulang benda yang sama banyak kali.

Ditanya media tentang hubungannya yang dikatakan mendapat tentangan keluarga Johan, Nabila berkata cerita itu sebenarnya sama sekali tidak benar. Malah, dia sendiri pernah berjumpa dengan keluarga Johan sebelum ini.

“Saya pernah jumpa keluarga dia tapi dah lama pun. Malah raya baru-baru ini dia juga ada mengajak saya balik ke kampung dia, tapi saya tak dapat ikut sebab sibuk. Jadi saya rasa isu keluarga Johan tak suka saya memang mengarut sangat,” jelasnya.