KERANA tiada tawaran pekerjaan, Bell Ngasri, Along Eyzendy dan Shah Sulaiman kini berkecimpung dalam bidang menangkap hantu pula. Mereka terdesak kerana masing-masing ada tanggungjawab untuk meneruskan hidup.

Namun kisah itu hanya dapat diikuti dalam drama 20 episod, Muzium Misteri yang sudah pun bermula tayangannya sejak 3 Oktober lalu.

Selain Bell, Along dan Shah, drama ini turut dijayakan AR Badul, Chacha Maembong, Kuza dan Kamarul Yusof.

Drama komedi seram ini mengisahkan Adam (Along Eyzendy) dan Shah (Bell Ngasri), penuntut kejuruteraan di Jepun pulang ke Malaysia selepas tamat pengajian tetapi belum mendapat tawaran pekerjaan.

Sewaktu menuntut di Jepun, mereka mencipta alat  menangkap hantu.

Mereka mendapat idea untuk menjadi penangkap hantu dengan alat itu. Adam dan Shah mengajak Danial (Shah Sulaiman), rakan untuk membantu.

Bermulalah mereka bertiga dengan pekerjaan ala Ghostbusters di seluruh pelosok kampung. Walaupun begitu, niat menjadi penangkap hantu pada mulanya tidak mendapat restu ibu Adam kerana merasakan perbuatan yang sia-sia sedangkan dia berkelulusan tinggi.

Shah pula ditinggalkan Hana. kekasihnya kerana keluarga Hana enggan bermenantukan Shah. Itu hanyalah alasan Hana kerana dia sudah punya pilihan lain yang lebih kacak.

Danial pula mempunyai ramai adik beradik yang bersekolah jadi dia tiada pilihan pekerjaan selain mengikut Shah dan Adam mencari hantu. Pekerjaan mereka ini kemudiannya viral di Facebook dan mula mendapat permintaan yang tinggi.

Sementara itu, Encik Bad (AR Badul) memiliki Muzium Misteri yang mempamerkan replika makhluk ghaib dan lembaga menakutkan.

Encik Bad mengupah Adam, Danial dan Shah untuk menangkap hantu sebagai pameran di muziumnya. Sudah pasti jika menggunakan hantu atau lembaga yang betul, muziumnya bakal mendapat sambutan.

Pada mulanya Adam dan Shah enggan. Danial hanya ikut sahaja. Tetapi sebaik sahaja Adam dan Shah ternampak Nur (Chacha Maembong), anak Encik Bad yang cantik mereka terus setuju.

Apakah Adam, Danial dan Shah kekal menangkap hantu? Saksikan drama arahan Hashim Rejab, skrip MF Kencana di bawah terbitan rumah produksi Zamriez Golden Pictures ini setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam di slot Seramedi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.